Tujuh sekeluarga melecur, alat 'steamboat' meletup

TEMERLOH-- Kegembiraan tujuh sekeluarga menjamu selera di sebuah restoran 'steamboat' bertukar tragedi apabila dapur untuk memasak meletup dalam insiden yang berlaku pada 9 Mac lalu.

Detik hitam itu dikongsikan mangsa, Noraini Abdullah, 53, menerusi Facebooknya yang memberitahu, akibat kejadian itu ketujuh-tujuh ahli keluarganya termasuk dirinya melecur.

"9 Mac 2024, niat nak makan-makan di Rotarium Steamboat N Grill Temerloh berakhir dengan tragedi apabila alat untuk memasak (portable stove) meletup sewaktu kami sedang memanggang dan merebus sup di situ.

"Kami tujuh sekeluarga melecur di muka dan tangan," katanya dalam hantaran itu.

Semasa kejadian sekitar jam 7 malam itu, dia ditemani suaminya, Ayob Harun, 59, dan empat anaknya, Fatin Nabilah, 29, Arif Fauzan, 26, Arif Fahmi, 23, Arif Fahin, 21 serta menantunya iaitu suami kepada Fatin, Azrul Fazrin Asri, 28.

Jelasnya lagi, akibat kecederaan itu, mereka sekeluarga dirujuk ke Pakar Plastik dan Bedah.

"Tak pasal-pasal kami sekeluarga terpaksa menyambut bulan Ramadan di wad. Betapa berat mata memandang , berat lagi bahu yang memikul beban," tambahnya.

Dalam pada itu, Noraini mendedahkan dia ada bertanyakan kepada pemilik restoran tersebut tentang perlindungan insurans namun dia dimaklumkan bahawa tiada perlindungan insurans diberikan.

"Saya tanya kepada pemilik kedai sama ada dia ada ambil insurans atau tidak dan dengan bersahaja dia jawab tidak," katanya dengan kesal kepada pemilik restoran itu yang seolah-olah mahu lepas tangan dalam insiden malang itu.

Tegasnya, dia dan sekeluarga tidak akan berdiam diri dan akan menuntut keadilan akibat kejadian itu.

"Kami tidak akan berdiam diri, kami akan tuntut hak kami anak beranak," katanya.

Difahamkan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Next Post Previous Post