Kerajaan Sarawak tambah sumbangan untuk anggota keselamatan yang bertugas pada Aidilfitri

KUCHING-- Kerajaan Sarawak menambah sumbangan untuk agensi keselamatan yang berkhidmat di negeri ini yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri kelak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setiap tahun peruntukan untuk menganjurkan Majlis Sumbangsih Raya ditambah bagi menghargai anggota yang menjaga keselamatan negeri ini.

"Setiap tahun kita mempunyai majlis untuk mengagihkan sumbangan daripada kerajaan Sarawak kepada mereka yang bertugas pada Hari Raya yang sedikit sebanyak memeriahkan Hari Raya mereka yang berjauhan dengan keluarga.

"Ini setiap tahun kita jalankan dan setiap tahun kita tambahkan (jumlah) agensi (yang menerima sumbangan) yang bertugas di Sarawak.

"Kita juga menambah inti sumbangan tersebut dan tadi isteri saya telah mencadangkan tahun baru nanti selain kuih-muih kita masukkan makanan segera seperti mi supaya mereka yang bertugas pada hari itu selain daripada kuih-muih ini ada barang makanan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan simbolik penyerahan Sumbangsih Raya 2024 di Bilik Mesyuarat utama, Wisma bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Tambah Abang Johari, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah juga menyambut baik cadangan itu.

"Maka kita akan tambah peruntukan untuk kita tambah sumbangan yang diagihkan kepada mereka yang bertugas.

"Saya dan rakan-rakan kabinet kerajaan Sarawak mengucap Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada mereka yang bertugas kelak dan semoga negeri kita sentisa aman dan makmur dan kita bangunkan negeri kita dengan baik," ujarnya.
Next Post Previous Post