Sarawak sudah lebih awal jalin kerjasama dalam pembangunan di Nusantara

KUCHING-- Sarawak sudah mengorak langkah lebih awal dalam menjalinkan kerjasama dengan Indonesia bagi merancakkan pembangunan di ibu kota baharu Nusantara (IKN).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini menerusi penyertaan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam projek Empangan Hidro Elektrik (HEP) Mentarang di Kalimantan Utara.

"Sebenarnya kita sudah ada jalinan kerjasama di antara Indonesia dan Sarawak, bahkan banyak syarikat kita di Sarawak ini sudah menjalankan perniagaan di Kalimantan. 

"Mengenai Nusantara memang kita sudah ada kerjasama untuk memberi bantuan dalam pembangunan yang berlaku di Nusanrata khasnya di Kalimantan Selatan dan Timur.

"Sebab itu pihak SEB telah melabur dalam jana kuasa di Kalimantan Timur di mana kita mempunyai pegangan saham 25 peratus dalam pembangunan hidro," katanya ditemui pemberita selepas menyempurnakan simbolik penyerahan Sumbangsih Raya 2024 di Bilik Mesyuarat utama, Wisma bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin yang menyarankan syarikat-syarikat Malaysia mengambil peluang daripada prospek pelaburan di wilayah Kalimantan Timur.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerjasama dalam penjanaan hidro itu akan membolehkan sumber tenaga diperbaharui itu dibekalkan kepada Kalimantan.

"Malahan ada cadangan daripada pihak Indoensia untuk memgembangkan lagi penggunaan tenaga hidro ini," tambahnya.

Selain itu, katanya, banyak lagi syarikat di negeri ini sudah menjalinkan kerjasama dalam bidang perniagaan di negara tersebut.

"Mereka sudah bermesyuarat dan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) serta Chinese Chambers of Commerce and Industry of Sarawak (ACCCIS) sudah menerokai bidang-bidang lain termasuk usaha untuk mengeksport barangan (produk Sarawak) ke sana (Kalimantan)," jelasnya.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata, syarikat-syarikat Malaysia harus mengambil peluang daripada prospek pelaburan di wilayah Kalimantan Timur, terutamanya di Samarinda dan Balikpapan berhampiran dengan ibu kota baharu Nusantara (IKN) yang akan datang.

Jelasnya, terdapat banyak peluang untuk syarikat-syarikat Malaysia menyumbang kepada pembangunan IKN, seperti dengan menyediakan bahan-bahan binaan.

Duta itu kini berada di Pontianak dalam lawatan kerja tiga hari yang berakhir esok, dan beliau berhasrat untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi dan hubungan persahabatan di antara Malaysia dan Indonesia dalam rangka kerja ASEAN.
Next Post Previous Post