Mangsa terselamat bot karam di Batang Baleh meninggal dunia

KUCHING-- Mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam di Batang Baleh, Kapit dilaporkan meninggal dunia semalam di Hospital Umum Sarawak di sini.

Berita sedih itu dikongsikan oleh pengguna Facebook di halaman Perjalanan Dua Alam semalam.

"Dukacita dimaklumkan bahawa mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam di Batang Baleh, Kapit pada 7 Mac 2024 lalu dikenali sebagai Moses Ngui@ Muhammad Firdaus Ngui Abdullah, 47, telah kembali ke Rahmatullah pada hari Selasa 19 Mac 2024 di Hospital Umum Sarawak," katanya dalam hantaran itu.

Jelasnya, jenazah dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Semariang hari ini dan diuruskan di Bilik Pengurusan Jenazah Hospital Umum Sarawak.



"Salam takziah daripada kami semua kepada seluruh ahli keluarga arwah dan sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah," ujarnya.

Dalam kejadian pada 7 Mac itu sekitar jam 5 petang, bot yang dinaiki lima individu termasuk dua anggota polis iaitu Sarjan Jonathan Lambet dan Konstabel Iskandar Ibrahim, karam selepas melalui pusaran air berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.

Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan dan peledak untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.

Arwah merupakan satu-satunya yang terselamat dalam insiden itu selepas diselamatkan oleh orang ramai semasa kejadian.

Turut menaiki bot ketika itu ialah mendiang Emerson John Nain, 47, dan mendiang Jack Balan, 45 tahun.
Next Post Previous Post