Lombong kripto guna ‘karan’ curi

MIRI— Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama polis membongkar kegiatan perlombongan mata wang kripto yang menyebabkan kerugian kira-kira RM80,000 sebulan.

SEB dalam kenyataan hari ini, berkata kejayaan itu hasil serbuan di rumah kedai dan rumah kediaman di Pujut dan Taman Boulevard dalam operasi anti kecurian elektrik yang diadakan selama dua hari, baru-baru ini.

“Lebih 110 pelayan perlombongan mata wang kripto ditemui semasa serbuan itu

“Siasatan lanjut menjumpai kabel penoreh terus yang tersembunyi di sebalik siling bagi mengelak pengesanan pemintasan meter elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, laporan polis sudah dibuat dan individu terbabit akan dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang memperuntukkan penalti sehingga RM200,000 atau lima tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, SEB mengingatkan orang ramai terutamanya pemilik premis menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan di kawasan mereka bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan.

“Pihak kami akan terus bekerjasama dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta pihak polis untuk mengesan lebih ramai pencuri elektrik, terutama pengusaha perlombongan mata wang kripto,” katanya.
Next Post Previous Post