Lelaki bukan Islam hanya boleh kahwin satu ikut JPN- Fatimah

KUCHING-- Sistem perkahwinan sivil di Sarawak menetapkan peraturan hanya satu isteri untuk seorang suami bagi masyarakat bukan Islam dan didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Perkara ini dijelaskan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah yang memaklumkan peraturan yang sama juga diguna pakai dalam perkahwinan adat bagi pasangan bukan Islam.

"Saya tidak mengetahui tentang ini (kisah perkahwinan seorang peniaga mi kolok dengan dua gadis di Kuching semalam) tetapi dari segi undang-undang, kita ada perkahwinan sivil dan adat yang ada peraturannya

"Di bawah perkahwinan itu ada peraturannya iaitu satu isteri untuk seorang suami (bukan Islam)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita pada sidang media selepas taklimat persediaan penganjuran Para SUKMA ke-21 di sini hari ini.

Fatimah ditanya berhubung kisah perkahwinan yang menjadi tular di media sosial hari ini, iaitu penjual mi kolo, Lim Soon Kien yang melangsungkan perkahwinannya dengan dua gadis idaman hatinya.

Lim bersama dua pengantin wanita, Ivy Ong dan Dewi Kartika dikatakan meraikan majlis perkahwinan mereka dalam satu majlis yang sama di salah sebuah restoran di sini semalam.

"Saya tidak tahu acara itu sama ada perkahwinan atau majlis makan malam persandingan. Ini juga di luar bidang kementerian saya. Namun, dalam sistem JPN sudah jelas hanya satu isteri sahaja, kahwin adat pun satu.

"Bagi saya biarlah dia sendiri yang menyelesaikan masalahnya kerana kalau ikut sistem kita di sini satu saja," tambahnya dalam nada berseloroh.
Next Post Previous Post