Kahwin dua, daftar satu - zuriat lahir berstatus "anak terdampar"

KUCHING— Perkahwinan dengan warga asing yang tidak didaftarkan secara sah akan menimbulkan masalah kewarganegaraan dan komplikasi undang-undang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong berkata, sekiranya salah seorang isteri adalah warga asing dan perkahwinan tidak didaftarkan, bayi yang lahir bakal berhadapan dengan masalah isu kerakyatan.

“Ibu bapa kepada bayi tersebut perlu memohon kerakyatan tetapi saya tidak tahu sama ada ia akan berjaya,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Violet berkata demikian mengulas perkahwinan seorang lelaki tempatan dengan dua wanita secara serentak di Kuching malam tadi.

Borneo Network difahamkan, lelaki tersebut berkahwin dengan seorang wanita tempatan secara sah dan seorang lagi isterinya merupakan warga Indonesia yang dikahwini secara tidak sah.

Perkahwinan yang kini sedang trending di media sosial turut mendapat reaksi daripada Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak yang berkongsi satu hantaran sambil memuat naik sekeping gambar pengantin tular tesebut.

“Status perkahwinan yang sah adalah perkahwinan yang didaftarkan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 di Jabatan Pendaftaran Negara,” menurutnya dalam hantaran itu.

Di Malaysia, hanya lelaki Islam dibenarkan untuk memiliki sehingga empat isteri.

Bagi bukan Islam tindakan ini adalah kesalahan jenayah dibawah Seksyen 494 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda.

Jabatan Imigresen menambah, suami atau isteri asing kepada warganegara Malaysia boleh diberikan kemudahan lanjutan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang untuk tempoh lima (5) tahun sekiranya memenuhi syarat-syarat permohonan, antaranya sebagai contoh; status perkahwinan yang masih sah semasa membuat permohonan lanjutan.

Katanya, pas lawatan sosial jangka panjang adalah satu pas yang dikeluarkan kepada pelawat asing untuk tinggal sementara di Malaysia bagi tempoh tidak kurang daripada 6 bulan.

Lanjutan boleh diberikan sekiranya pemegang pas tersebut telah memenuhi kelayakan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Sementara itu, satu hantaran memaparkan majlis perkahwinan seorang lelaki dengan dua wanita secara sekaligus menjadi tular di media sosial dengan ramai netizen yang kagum dengan kemampuannya.

Borneo Network difahamkan, Lim Soo Kien yang juga seorang tauke kolok mi menikahi Ivy Ong dan Dewi Kartika dalam satu majlis besar-besaran di sebuah restoran di Jalan Simpang Tiga, sini malam tadi.

Rata-rata netizen mengagumi lelaki kerana mampu berkahwin dengan dua wanita secara serentak, namun ada yang mempersoal sama ada perkahwinan itu sah di sisi undang-undang.

“Wow..dah dapat kawin dua Chinese kenek..ingatkan Islam aja dapat kahwin hingga empat,” kata seorang netizen.

Perkahwinan yang kini sedang trending di media sosial menjadi viral selepas beberapa keping gambar pengantin lelaki dengan kedua-dua isterinya dimuat naik di Facebook pagi tadi.

Setakat ini hantaran itu mendapat hampur 5,000 likes dan dikongsikan hampir 7,000 netizen.
Next Post Previous Post