Malaysia gempar peniaga mi kahwini dua wanita serentak
Satu Ramadhan dikejutkan dengan kisah penjual mi kolo, Lim Soon Kien yang melangsungkan perkahwinannya dengan dua gadis idaman hatinya menjadi topik perbualan hangat netizan di media sosial.
Difahamkan Lim meraikan majlis perkahwinannya di salah sebuah restoran di sini semalam, mendapat perhatian orang ramai kerana dia mengahwini dua pengantin wanita Ivy Ong dan Dewi Kartika pada satu majlis yang sama.
Malah, dia turut meraikan malam bulan madunya bersama kedua-dua isterinya dalam bilik yang sama.
Dalam majlis itu, Lim bersama dua pengantin wanita dilihat mengenakan pakaian pengantin serba putih selain mengikut tradisi perkahwinan kaum Cina disaksikan rakan-rakan dan saudara mara.
Sementara itu, perkahwinan tersebut turut menimbulkan persoalan kepada netizen kerana di Malaysia, hanya lelaki Islam dibenarkan untuk memiliki sehingga empat isteri.
Bagi bukan Islam tindakan ini adalah kesalahan jenayah dibawah Seksyen 494 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda.
Borneo Network turut difahamkan, lelaki tersebut berkahwin dengan seorang wanita tempatan secara sah dan seorang lagi isterinya merupakan warga Indonesia yang dikahwini secara tidak sah.
Mengulas perkahwinan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong dalam pada itu meramalkan perkahwinan dengan warga asing yang tidak didaftarkan secara sah akan menimbulkan masalah kewarganegaraan dan komplikasi undang-undang.
Beliau berkata, anak tersebut mungkin tidak mendapat hak sebagai warganegara jika proses perkahwinan ibu bapa tidak dilakukan dengan betul.
“Anak yang bakal lahir terpaksa ikut kewarganegaraan ibu. Dalam hal ini anak itu nanti akan menjadi warganegara Indonesia.
“Ibu bapa kepada bayi tersebut perlu memohon kerakyatan tetapi saya tidak tahu sama ada ia akan berjaya,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Sementara itu, perkahwinan yang kini sedang trending di media sosial turut mendapat reaksi daripada Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak yang berkongsi satu hantaran sambil memuat naik sekeping gambar pengantin tular tesebut.
“Status perkahwinan yang sah adalah perkahwinan yang didaftarkan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 di Jabatan Pendaftaran Negara,” menurutnya dalam hantaran itu.
Jabatan Imigresen menambah, suami atau isteri asing kepada warganegara Malaysia boleh diberikan kemudahan lanjutan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang untuk tempoh lima (5) tahun sekiranya memenuhi syarat-syarat permohonan, antaranya sebagai contoh; status perkahwinan yang masih sah semasa membuat permohonan lanjutan.
Katanya, pas lawatan sosial jangka panjang adalah satu pas yang dikeluarkan kepada pelawat asing untuk tinggal sementara di Malaysia bagi tempoh tidak kurang daripada 6 bulan.
Lanjutan boleh diberikan sekiranya pemegang pas tersebut telah memenuhi kelayakan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah pula berkata, sistem perkahwinan sivil di Sarawak menetapkan peraturan hanya satu isteri untuk seorang suami bagi masyarakat bukan Islam dan didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Katanya, peraturan yang sama juga diguna pakai dalam perkahwinan adat bagi pasangan bukan Islam.
"Saya tidak mengetahui tentang ini (kisah perkahwinan seorang peniaga mi kolok dengan dua gadis di Kuching semalam) tetapi dari segi undang-undang, kita ada perkahwinan sivil dan adat yang ada peraturannya
"Di bawah perkahwinan itu ada peraturannya iaitu satu isteri untuk seorang suami (bukan Islam)," katanya.
Sementara itu, satu hantaran memaparkan majlis perkahwinan seorang lelaki dengan dua wanita secara sekaligus menjadi tular di media sosial dengan ramai netizen yang kagum dengan kemampuannya.
Lim Soo Kien yang juga seorang tauke kolok mi menikahi Ivy Ong dan Dewi Kartika dalam satu majlis besar-besaran di sebuah restoran di Jalan Simpang Tiga, sini malam tadi.
Rata-rata netizen mengagumi lelaki kerana mampu berkahwin dengan dua wanita secara serentak, namun ada yang mempersoal sama ada perkahwinan itu sah di sisi undang-undang.
“Wow..dah dapat kawin dua Chinese kenek..ingatkan Islam aja dapat kahwin hingga empat,” kata seorang netizen.
Perkahwinan yang kini sedang trending di media sosial menjadi viral selepas beberapa keping gambar pengantin lelaki dengan kedua-dua isterinya dimuat naik di Facebook pagi tadi.
Setakat ini hantaran itu mendapat lebih 5,000 likes dan dikongsikan hampir 8,000 netizen.