Bidang peralihan tenaga buka peluang ekonomi Bumiputera

PUTRAJAYA— Pelaksanaan inisiatif Tenaga Boleh Baharu (TBB) berupaya membuka lebih banyak peluang perniagaan dan potensi ekonomi baru untuk dimanfaatkan usahawan bumiputera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, program TBB ini sekaligus keterlibatan dan penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera dalam agenda peralihan tenaga.

Beliau berkata, kementerian dalam langkah menggubal Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga yang bertujuan mengawal selia kecekapan dan konservasi tenaga dalam sektor industri dan komersial.

“Ini dijangka akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu sebagai Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar.

“Penguatkuasaan akta ini juga akan menggalakkan pendaftaran lebih banyak institusi latihan bagi melatih Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar,” katanya berucap sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Di samping itu memastikan transformasi ekonomi lestari ini berupaya menjana sumber pertumbuhan baharu, mewujudkan peluang perniagaan dan potensi perdagangan. 

“Dalam konteks pembekalan elektrik, sektor TBB memainkan peranan yang penting dalam usaha peralihan tenaga selain sebagai sumber tarikan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi baharu negara. 

“Selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pembebasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050, Kerajaan telah menetapkan komitmen untuk
meningkatkan campuran kapasiti Tenaga Boleh Baharu dalam pembekalan elektrik negara kepada 70% menjelang tahun 2050 berbanding 25% pada masa ini,” katanya.

Beliau menambah, namun usaha ini memerlukan gandingan kerjasama dan keterlibatan pihak kerajaan, swasta dan rakyat bagi memastikan kejayaan kesemua inisiatif dan program TBB mencapai sasaran tersebut.

Katanya, usaha untuk merealisasikan sasaran peralihan tenaga ini akan dilakukan secara menyeluruh, berdasarkan pertimbangan yang teliti ke atas faktor-faktor keupayaan sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna. 

Secara asasnya, aspirasi peralihan tenaga ini akan dikecapi melalui pelaksanaan inisiatif seperti embangunan loji jana kuasa solar bagi meningkatkan pembekalan tenaga elektrik hijau pada kos yang berpatutan.

“Inisiatif lain memanfaatkan ruang bumbung bangunan atau permukaan air untuk pemasangan sistem solar bagi mengelakkan tebus guna tanah; menggalakkan kepelbagaian sumber penjanaan tenaga iaitu daripada sumber bukan solar seperti biogas, biojisim dan hidro untuk menjamin sekuriti pembekalan elektrik;

“Selain itu membangunkan program khusus untuk membolehkan capaian bekalan elektrik hijau oleh pengguna korporat bagi menarik serta mengekalkan pelaburan bersih dan bernilai tinggi oleh syarikat syarikat Renewable Energy 100 (RE100).

“Di samping itu meneroka pembangunan sistem grid serantau di bawah inisiatif ASEAN Power Grid bagi membolehkan integrasi sumber penjanaan TBB yang lebih tinggi melalui jaringan sistem grid di ASEAN,” kata Fadillah.

Dalam meneruskan usaha Kerajaan untuk mencapai sasaran Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan, PETRA dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan pihak-pihak berkepentingan sedang membangunkan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2035.

“Pelaksanaan ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, potensi perniagaan dan pelaburan akan diwujudkan untuk manfaat rakyat dan negara,” 

Fadillah berkata, kerajaan telah meluncurkan Pelan Hala Tuju Perubahan Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan usaha dan komitmen negara ke arah mencapai sistem tenaga yang mampan dan inklusif.

Katanya, NETR membuktikan keazaman kerajaan dalam melaksanakan inisiatif peralihan tenaga daripada ekonomi berasaskan bahan api fosil tradisional kepada ekonomi hijau bernilai tinggi.
Next Post Previous Post