Ada penduduk Telang Usan tak merasa subsidi, Dennis

Antara barangan subsidi yang tidak dinikmati oleh sebahagian penduduk di Telang Usan. Gambar arkib

BARAM— Dalam rekod bukan main cantik, tetapi ‘enforcement’ tiada - itu dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berhubung aduan penduduk di kawasan itu yang tidak menikmati subsidi.

Dennis berkata, beliau menerima aduan daripada beberapa ketua kampung yang bertanyakan kemanakah subsidi itu yang sepatutnya dinikmati mereka di kawasan pedalaman.

Berikutan ketiadaan subsidi, penduduk di kawasan pedalaman tersebut terpaksa membayar 50 peratus lebih mahal daripada harga yang bersubsidi.

“Gas sampai RM36 setong. Beras ikut jenis atau jenama. Tapi mereka naikkan harga sampai 50 peratus.

“Saya tak cakap seluruh kawasan Telang Usan, tetapi beberapa kawasan tidak menikmati barangan subsidi.

“Ramai ketua kampung datang kepada saya mengadu tidak menikmati barangan subsidi.

“Saya pun tak pandai nak jawab kerana tiada yang memberikan taklimat. Tapi bila ada masalah, saya yang mereka cari,” katanya ketika dihubungi Borneo Network.

Beliau berkata, perkara ini diketahui semasa sesi taklimat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Miri yang turut dihadiri kira-kira 50 ketua masyarakat, kaunselor dan penduduk kawasan Telang Usan.

Taklimat itu antara lain bertujuan meningkatkan pemahaman komuniti tempatan mengenai perlaksanaan subsidi tersebut.

Dennis berkata, banyak persoalan yang tidak jelas mengenai perlaksanaan program pengedaran barang perlu, gas petroleum cecair (LPG), petrol dan diesel di kawasan-kawasan pusat penjualan (POS).

“Saya harap KPDN akan bertindak. Masalah KPDN ini ialah saya tengok enforcement mereka tiada , dalam rekod cantik.

“Macam Kampung Long Bemang, satu hingga lima orang dalam sana (POS) tapi bila kita tanya, mereka pun tak tahu macam mana sistem dijalankan.

“Kita berharap KPDN menyelesaikan perkara ini agar hasrat murni kerajaan (menyediakan subsidi) sampai kepada rakyat di pedalaman,” katanya.

Ketua KPDN Bahagian Miri Joe Azmi Jamil ketika dihubungi Borneo Network mengesahkan, terdapat beberapa kampung tidak melantik POS untuk menjual barang-barang kawalan.

“Sebaliknya, pelantikan POS ini dibuat oleh transporter yang dilantik. 

“Saya sudah berbincang perkara ini bersama beliau (Dennis) dan meminta supaya transporter itu melantik mana-mana kedai runcit di kampung supaya kampung lain pun boleh mendapat harga yang murah,” katanya hari ini.

Melalui Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (Program Penyeragaman Harga), kerajaan menanggung kos pengangkutan tujuh barangan terbabit dengan melantik transporter untuk membeli barangan daripada pembekal.

Tujuh jenis barangan terbabit ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, tong gas memasak, petrol RON95 dan diesel.

Namun penghantaran barangan bersubsidi ke pedalaman Baram berdepan dengan cabaran dan kos pengangkutan yang mahal kerana perlu melalui jalan balak, sungai selain kampung-kampung yang terpencil lagi terpinggir.
Next Post Previous Post