Bil air, pembetungan dikecualikan kenaikan SST

PUTRAJAYA— Lapan juta pengguna perkhidmatan bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan menikmati pengecualian kenaikan caj Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuatkuasa mulai hari ini.

Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan berkata, daripada jumlah itu 87 peratus adalah pengguna domestik manakala selebihnya 13 peratus bukan domestik.

“Selain itu, seramai 4.7 juta lagi pengguna perkhidmatan pembetungan di seluruh Semenanjung Malaysia & Wilayah Persekutuan Labuan, juga tidak terkesan dalam kenaikan caj berkenaan.

“Kerajaan akan terus komited dan prihatin bagi memastikan keperluan asas rakyat diutamakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PETRA ingin mengingatkan orang awam untuk menggunakan air secara berhemat terutama ketika negara sedang berhadapan dengan musim panas dan kering di kebanyakan negeri.
Next Post Previous Post