Tak Serik, lelaki sekali lagi dipenjara kerana menjual bahagian hidupan liar secara haram

MIRI-- Seorang lelaki yang pernah ditangkap dan dihukum kerana memiliki serta menjual bahagian hidupan liar secara haram sekali lagi dikenakan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Junilis Wesly, 48, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Azreena Aziz selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan kepada fakta kes, tertuduh yang sebelum ini mempunyai satu rekod jenayah lampau pada tahun 2021 dan pernah didenda oleh Sarawak Forestry Corporation kerana melakukan kesalahan melanggar Ordinan yang sama, telah didakwa bagi dua kertas siasatan yang dibuka ke atasnya melalui kesalahan yang dilakukan pada tahun 2022 dan 2023 yang bertempat di Tamu Pujut Corner, Miri.

Bagi pertuduhan pertama iaitu pada tahun 2023, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 37(2)(C) iaitu tuduhan memiliki bahagian hidupan liar iaitu sebanyak 17.58 kilogram (kg) daging rusa, tanpa kebenaran daripada Controller Hidupan Liar dan tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan di denda sebanyak RM2,000 atau sebulan penjara sebagai jika gagal membayar denda.

Pertuduhan kedua, tertuduh telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda atas kesalahan di bawah Seksyen 37(3) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 33(1) dan dibacakan bersama Seksyen 33(3), Ordinan yang sama kerana dengan niat untuk menjual daging rusa tersebut. 

Difahamkan jumlah denda ini merupakan denda berganda yang telah dikenakan kepada tertuduh melalui peruntukan dibawah Seksyen 51, Ordinan yang sama kerana tertuduh pernah ditangkap oleh pihak Sarawak Forestry Corporation atas kesalahan melanggar Ordinan yang sama sebelum ini.

Terdahulu, beliau juga telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan didenda sebanyak RM10,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda kerana memiliki dua ekor bangkai hidupan liar terlindung yang telah dibunuh. 

Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 29(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 kerana memiliki hidupan liar terlindung tanpa lesen daripada Controller Hidupan Liar iaitu spesis monyet dan musang. 

Kesalahan itu dilaporkan berlaku di tempat yang sama iaitu di Tamu Pujut Corner.

Selain itu, waran tangkap juga pernah dikeluarkan oleh mahkamah terhadap tertuduh kerana gagal menghadirkan diri untuk sebutan kali pertama kes di mahkamah sebelum ini. 

Pendakwaan telah dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Tertuduh gagal membayar denda tersebut dan digantikan dengan hukuman penjara. 

Sehubungan itu, hukuman penjara akan dijalankan serentak iaitu bermula daripada tarikh hukuman tersebut dibacakan.

Sementara itu, Controller Hidupan Liar, Abang Arabi Abang Aimran tmenyeru kepada orang ramai agar sentiasa patuh kepada undang undang yang telah ditetapkan terutamanya di dalam melindungi hidupan liar. 

Tegasnya, penjualan daging haiwan liar secara terbuka dan pemburuan secara haram bukan sahaja melanggar Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998, malahan aktiviti seumpama ini menyumbang kepada kepupusan haiwan liar tersebut di habitat asalnya. 

"Kerajaan Sarawak memandang serius aktiviti haram ini dan tidak akan berkompromi kepada sesiapa yang melakukan kesalahan ini bagi memastikan hidupan liar di Sarawak sentiasa dilindungi agar ia tidak diancam kepupusan," ujarnya.

Menurutnya lagi, hukuman denda dan penjara yang dikenakan oleh mahkamah kepada tertuduh diharap dapat memberi pengajaran dan kesedaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

"Diharapkan agar kes ini menjadi iktibar kepada segenap lapisan masyarakat di Sarawak agar tidak melakukan aktiviti penjualan haiwan liar sewenang-wenangnya kerana jenayah yang melibatkan hidupan liar merupakan satu kesalahan serius di sisi undang undang Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998, di Sarawak," tambahnya.
Next Post Previous Post