4 buah rumah di Jalan Teku musnah terbakar

SIBU -- Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas 4 buah rumah di Lorong Bahagian 4 Selatan di Jalan Teku yang dibina berdekatan musnah dalam kebakaran yang berlaku hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari BBP Sungai Merah dengan dibantu BBP Sibu Sentral bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 2.36 petang tadi.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran yang melibatkan 2 buah rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus manakala 2 lagi rumah bahagian kanan dan kiri terbakar 60 dan 80 peratus," ujarnya.

Buat masa sekarang jelasnya, pasukan bomba sedang giat menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran yang berlaku bagi mengelakkan ianya merebak ke kediaman lain yang berdekatan.

Setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat daripada kebakaran yang berlaku.

"Jumlah kesemua mangsa terjejas bagaimanapun belum dapat dipastikan lagi yang mana sebarang perkembangan terbaru akan dimaklumkan dari masa ke semasa," ujarnya.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post