Dua faktor penyebab rakyat Malaysia jadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara

Anak Sarawak terjerat tawaran pekerjaan lumayan di Amsterdam. Gambar Arkib. 

KUCHING-- Terdapat dua faktor utama yang membuat mangsa dipengaruhi dan diperdayakan untuk bekerja di luar negara, dedah Timbalan Pengarah Siasatan, Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Datuk Rusdi Mohd Isa.

Beliau berkata, antaranya faktor tarikan iaitu tawaran gaji lumayan dan kemudahan dan faktor Penolakan iaitu mangsa hilang punca pendapatan dan lain-lain.  

"Mengikut trend semasa, mangsa-mangsa ini terpengaruh dan diperdaya dengan iklan-iklan tawaran pekerjaan di laman sosial contohnya seperti Facebook.

"Pada asalnya, mangsa ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di syarikat pelaburan atau kasino berlesen, ada juga yang ditawarkan bekerja di tempat peranginan. 

"Apabila sampai di negara destinasi, mereka telah dipaksa bekerja sebagai scammer (penipuan) iaitu menipu orang di atas talian untuk pelaburan yang tidak wujud dan juga love scam," katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Penguatkuasaan ATIPSOM (KBSJD) Zon Sabah dan Sarawak 2024 di sebuah hotel di sini hari ini.

Tambahnya, terdapat juga beberapa pekerjaan yang ditawarkan seperti jurubahasa, pegawai pemasaran dan sebagainya. 

Jelas Rusdi, kebanyakkan mangsa-mangsa ini sedang mencari pekerjaan dan mereka terjumpa iklan-iklan tawaran pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji yang lumayan menerusi laman web melalui portal pencarian kerja dan juga platform media sosial. 

"Ada juga yang jatuh menjadi mangsa akibat daripada terpedaya oleh kenalan daripada media sosial yang tidak pernah berjumpa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, statistik dari segi jumlah laporan, mangsa yang diselamatkan dan masih terkandas bagi tahun 2021 sehingga 23 Februari 2024, PDRM telah menerima sebanyak 354 laporan polis berkaitan jenayah penipuan tawaran pekerjaan membabitkan seramai 459 orang warganegara Malaysia menjadi mangsa. 

Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 326 orang telah berjaya diselamatkan dan 133 orang masih terkandas di luar negara.

"Bagi anak Sarawak, PDRM telah menerima sebanyak 54 laporan polis yang melibatkan seramai 83 orang mangsa terdiri daripada 70 lelaki dan 13 perempuan. 

"Daripada jumlah tersebut, seramai 64 mangsa telah berjaya diselamatkan dan telah pulang ke negara, manakala terdapat lagi 19 mangsa masih terkandas di negara destinasi," dedahnya.

Daripada statistik yang ada, beliau memberitahu negara yang menjadi tumpuan mangsa dibawa ialah ke negara Kemboja, Myanmar, Thailand dan Laos.

"Selain dari itu, destinasi lain yang menjadi tumpuan termasuk UAE (Dubai), dan Filipina. 

"Pada bulan Oktober 2023, terdapat seramai 43 orang warganegara Malaysia diselamatkan oleh polis Republik Peru dari sindiket Macau Scam yang mana 40 orang adalah anak Sarawak," ujarnya.

Selain itu, Rusdi berkata, daripada kajian empirikal yang dijalankan mendapati 73 peratus bekerja sebagai scammer, 12 peratus bekerja sebagai khdmat pelanggan, 8 peratus bekerja di kasino dan 7 peratus bekerja seperti tukang masak dan lain-lain.

Justeru, beliau menasihatkan semua warga Malaysia supaya berhati-hati dalam menerima tawaran kerja, samada di dalam atau di luar negara. 

"Jika ingin bekerja di luar negara, sila semak kesahihan atau ketulenan maklumat bakal majikan itu dengan Kementerian Luar Negeri. 

"Pastikan maklumat yang terperinci mengenai syarikat perekrutan, majikan dan skop kerja diperolehi sebelum membuat keputusan menerima tawaran pekerjaan itu. 

"Pastikan juga, segala kontrak atau perjanjian ada jelas dan dibaca dengan teliti sebelum menandatangan dokumen tersebut," ujarnya.
Next Post Previous Post