300 ekar bangunkan rumah selesa mampu milik di Sungai Plan

BINTULU— Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti tanah seluas 300 ekar di Sungai Plan yang terletak di kawasan Kidurong untuk membangunkan taman perumahan yang strategik dengan harga berpatutan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan pembinaan perumahan yang terletak sejauh 18 kilometer dari pusat Bandar Bintulu adalah untuk meminimumkan kawasan rumah setinggan di situ.

Menurut beliau, usaha berkenaan sekali gus mengurangkan isu pencemaran sungai dengan membina perumahan yang lebih teratur dan selamat.

“Kita perlu mempunyai rangka pelan induk atau ‘master plan’ yang lebih teratur dan mungkin pihak PETRONAS dan syarikat lain boleh mengusaha sama untuk membina perumahan untuk para pekerja di kawasan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kerajaan Sarawak juga akan memfokuskan pembangunan perumahan di kawasan luar bandar Bintulu termasuk di Sebauh dan Tatau dalam menangani isu harga rumah yang agak tinggi di situ.

Ianya menurut beliau merupakan pelan jangka masa panjang bagi menggalakkan penduduk tempatan memiliki rumah sendiri dengan kadar harga berpatutan.

Selari dengan perkembangan pesat sektor perindustrian di Bintulu khususnya di kawasan perindustrian sedia ada di Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju, kerajaan turut menyediakan beberapa tapak bagi membolehkan syarikat-syarikat perindustrian menyediakan kediaman buat pekerja mereka.

"Langkah sedemikian akan membolehkan syarikat perindustrian memberikan kemudahan penginapan yang baik kepada setiap pekerja mereka sekaligus memperbaiki tahap kebajikan dan produktiviti setiap pekerja," ujar beliau.

Mengulas mengenai program pemuliharaan Sungai Plan yang merupakan kerjasama antara pihak MLNG dan NREB, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan bahawa pelan pembangunan yang dirancang harus selari dengan penjagaan alam sekitar serta biodiversiti yang terdapat di sekitarnya.

Sebaik-baiknya, pembangunan yang dilaksanakan harus tidak mengabaikan kelestarian hutan serta ekosistem yang terdapat di sesebuah kawasan itu supaya ianya tidak mendatangkan kesan buruk kepada manusia.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Sarawak akan memastikan setiap program pembangunan yang dirancang akan sentiasa mengambil kira akan aspek pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar sekaligus mengurangkan pelepasan karbon.
Next Post Previous Post