Sarawak mahu hasilkan minyak pesawat daripada etanol buluh

BINTULU— Sarawak bersedia menjadi pengeluar bioetanol daripada buluh yang menghasilkan bahan bakar penerbangan mampan (SAF) untuk digunakan oleh pesawat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan syarikat Sakura Ferroalloys (Sakura) dan agensi berkaitan dalam merealisasikan hasrat itu.

“Penggunaan buluh bakal menawarkan satu lagi alternatif tenaga boleh baharu untuk SAF di Sarawak selain alga.

“Inisiatif etanol buluh ini adalah selaras dengan matlamat peralihan tenaga Sarawak dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan kesan rumah hijau,” katanya berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-10 Sakura Ferroalloys di Parkcity Everly, di sini malam tadi.

Abang Johari berkata, selain Sakura pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memperuntukkan tanah untuk penanaman buluh bagi pengeluaran bioetanol.

Beliau berkata, tanaman itu kini tidak lagi terhad untuk penghasilan perabot malah berpotensi besar untuk menjadi tenaga baharu yang boleh menyumbang kepada pendapatan negeri.

“Sarawak mempunyai sumber yang banyak selain persekitaran yang kondusif untuk menghasilkan SAF. Kita melihat potensi ini satu lagi peluang menambah aliran hasil baharu.

“Justeru kerjasama dengan syarikat seperti Sakura Ferroalloys adalah penting dalam merealisasikan cita-cita pembangunan mampan Sarawak,” katanya.

Terdahulu Abang Johari berkata Taman Perindustrian Samalaju berjaya membawa masuk pelaburan mencecah RM111.73 bilion sejak mula beroperasi.

Jumlah pelaburan yang positif itu memberikan impak positif kepada industri hiliran serta penggiat ekonomi domestik.

Menurutnya, pada masa sama hasil keluaran turut dianggarkan berjumlah RM12.07 bilion dengan jumlah tenaga kerja seramai 10,000 orang.

“Potensi itu ada dan kita telah pun mempunyai senarai syarikat-syarikat yang bakal melabur di taman perindustrian tersebut dengan nilai pelaburan berjumlah RM15.66 bilion di pelbagai peringkat termasuk pelaburan yang diluluskan serta dilaksanakan,”katanya.

Selain itu, projek saluran paip gas Bintulu-Samalaju yang merangkumi saluran paip gas sepanjang 70 kilometer daripada Bintulu ke Taman Perindustrian Samalaju dijangka siap pada penghujung 2025.  

"Pengoperasian projek ini kelak akan meningkatkan pengedaran bekalan gas kepada para pengguna di Taman Perindustrian Samalaju, termasuk Turbin Gas Pusingan Tergabung (CCGT) yang masih dalam peringkat pembinaan bagi menaik taraf bekalan gas serta penjanaan kuasa kepada Taman Perindustrian Samalaju," katanya.
Next Post Previous Post