Penumpang dianiaya, bas laluan Sibu - Tanjung Manis - Belawai separuh jalan?

SIBU— Pemandu bas berhenti cari pucuk midin, menurunkan penumpang separuh jalan serta berhenti di lokasi yang bukan dalam laluan merupakan antara rungutan penumpang bas bagi laluan Sibu- Tanjung Manis - Belawai.

Maklum balas negatif ini berdasarkan perkongsian seorang pengguna bas baru-baru ini yang menyuarakan rasa tidak puas hati selepas pemandu bas berhenti separuh jalan di Tanjung Manis, sedangkan individu tersebut membeli tiket dengan harga yang penuh untuk ke Belawai.

Pengguna tersebut dalam hantaran di media sosial Facebook mendakwa, bas yang bertolak pada jam 2 petang itu sampai di Tanjung Manis namun tidak meneruskan perjalanan ke Belawai dengan alasan tidak ramai penumpang.

“Bas setakat Tanjung Manis sahaja, pemandu memberikan alasan tidak masuk Belawai kerana penumpang sedikit.

“Jadi, apalah guna pihak pengurusan bas meletakkan laluan Belawai dalam jadual jika tidak sampai?,” soalnya dalam hantaran itu yang dikongsikan oleh Borneo Network baru-baru ini.

Perkongsian tersebut mendapat banyak reaksi daripada warganet, malah ada pengguna mendakwa melalui pengalaman yang hampir sama menggunakan bas tersebut.

Menurut pengguna Facebook tersebut, dia pernah menghantar barang dari Sibu ke Tanjung Manis, namun pemandu bas tersebut meminta pelanggan mengambil barang di simpang Belawai.

“Namun selepas buat aduan dengan menelefon ibu pejabat syarikat bas, barulah pemandu bas tersebut meneruskan perjalanan ke Tanjung Manis.

“Pemandu bas terbabit juga menyusahkan penumpang kerana membuat hentian di lokasi yang tiada dalam jadual. Bayangkan, dia berhenti di kampung saudara-maranya di Bawang Assan seolah-olah bas dia yang punya.

“Malah pemandu tersebut berhenti di tepi jalan untuk mengambil pucuk midin,” katanya.

Sementara itu, netizen mencadangkan syarikat bas berkenaan mengambil tindakan terhadap pemandu bas yang bermasalah kerana ia menyusahkan pengguna selain merugikan syarikat itu sendiri.

“Pemandu malas macam ni harus diberhentikan kerja.

“Inilah punca penumpang tidak sampai-sampai ke destinasi yang sepatutnya pemandu singgah.

“Minta tolong syarikat tukar pemandu bas, semua orang takut hendak tumpang. Memandu pun sempat main telefon bimbit selain sesuka hati mengubah waktu perjalanan sedangkan kami mengejar masa,’ kata netizen.

Selain itu penumpang turut mengadu pemandu tersebut merokok walhal sudah jelas terpampang larangan merokok di dalam bas.

“Driver bas ya gila. Selalu dengar dengar nya mbak bas sambil merokok dan main telefon..terang-terang larangan no smoking sia...ngecaj barang penumpang juak nya sesuka hati,” katanya.

Selain itu pengguna turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi setiap kemudahan awam bagi memantau pemanduan dan keselamatan penumpang.

Selain itu ramai penumpang meluahkan perasaan tidak puas hati dengan kadar tambang yang disifatkan tidak adil.

“Bas Sarikei Sibu, Sibu Bintangor RM1 lagi selesa ada aircond berbanding Sibu Belawai RM16,” kata mereka.
Next Post Previous Post