Jalan singkatkan perjalanan dari Miri ke Long Terawan dibina tahun depan

Dif-dif kenamaan lain menyertai Premier Sarawak menggaul Yee Sang. Gambar ihsan UKAS

MIRI—Pembinaan jalan penghubung Miri ke Marudi, Mulu dan Long Terawan yang bermula tahun depan akan melengkapkan usaha kerajaan menghubungkan kawasan luar bandar itu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata projek infrastruktur tersebut dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri.

“Pelan laluan jalan tersebut sudah dipersetujui. 

“Moga-moga kita dapat memulakannya pada tahun depan kerana tahun ini JKR masih melakukan proses tender.

“Apabila siap kelak, jalan tersebut akan memendekkan perjalanan dari Miri ke Long Terawan selama kira-kira sejam setengah,”katanya memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Premier berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina SUPP Parliamentary Miri-Sibuti Liaison Committee di Mega Hotel, Miri pada Isnin.

Dengan adanya jalan itu nanti, beliau berkata Mulu dapat dihubungkan ke kawasan Gunung Buda di Limbang.

“Dalam erti kata lain, semua jalan telah dihubungkan, ia telah lengkap.

Mengulas lanjut, Abang Zohari berkata kawasan Niah di Miri juga akan dibangunkan dengan infrastruktur asas bagi mengangkat lagi nilai pelancongan di situ.

Ia berikutan Sarawak telah menghantar cadangan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk menjadikan Niah sebagai Tapak Warisan Dunia.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata Miri bakal mempunyai pusat konvensyennya sendiri.

Katanya, tapak pusat berkenaan telah dikenalpasti dan pembinaannya dijangka bermula pada tahun depan.

“Pusat konvensyen ini hampir menyamai saiz pusat konvensyen di Kuching.

“Jadi ramai orang akan datang ke Miri untuk mengadakan mesyuarat di sini,” katanya lagi.

Hadir sama isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden Kehormat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam serta dif-dif kenamaan yang lain.
Next Post Previous Post