4WD jatuh gaung di Jalan Batu 6 Sibu, seorang cedera tersepit, dua selamat

SIBU-- Seorang remaja cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki bersama dua rakannya terlibat kemalangan lalu jatuh ke gaung dan terbalik di Jalan Batu 6 di sini malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 8.04 malam memaklumkan terdapat mangsa tersepit dalam 4WD yang terlibat kemalangan.

"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah diarah respon ke lokasi kejadian. 

"Setibanya dilokasi kejadian mendapati sebuah 4WD terlibat dalam kemalangan kendiri dan terjatuh ke dalam gaung anggaran ketinggian 15 kaki dari jalan raya. 

"Tiga mangsa kesemua lelaki dewasa yang mana seorang remaja 19 tahun masih tersepit di dalam kenderaan manakala dua mangsa lelaki berusia 20 dan 22 tahun dalam selamat telah keluar dari kenderaan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pasukan membuat size-up dan dengan berkonsepkan teknik "SAVER", pasukan bertindak menggunakan peralatan penyelamatan untuk membuka laluan bagi mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang dalam kedudukan terbalik. 

Jelasnya, setelah mangsa berjaya dikeluarkan, pasukan mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan seterusnya diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS. 

"Kesemua mangsa seterusnya dihantar ke hospital untuk rawatan dan tindakan selanjutnya. 

"Setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bertolak balik ke balai dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.21 malam," ujarnya.
Next Post Previous Post