Lelaki terkandas akibat air pasang besar di hutan Kampung Semariang Pinggir diselamatkan

KUCHING-- Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam hutan di Kampung Semariang Pinggir di sini akibat fenomena air pasang besar hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 7.27 malam memaklumkan mangsa, Mohd Zulfika, 33, terperangkap disebabkan air pasang.

Jelasnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi

"Setibanya dilokasi, penduduk kampung maklum mangsa memasuki hutan untuk mengambil kayu pada jam 12 tengah hari dan telah terkandas akibat air pasang besar. 

"Penduduk kampung juga mengatakan bahawa mangsa telah dapat dihubungi dan maklum bertindak memanjat pokok tinggi bagi menggelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya dalam kenyataan malam ini.

Susulan itu, katanya bomba bertindak membuat penilaian risiko terlebih dahulu dan telah membuat perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Ketua Kampung untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas di seberang sungai dengan menggunakan bot penduduk kampung. 

"Mangsa telah dibawa oleh penduduk kampung ke seberang sungai dalam keadaan selamat dan tiada mengalami kecederaan. 

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak keluarga," ujarnya.

Ekoran itu, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.25 malam.
Next Post Previous Post