Penduduk Belawai azab stesen minyak sentiasa rosak

BELAWAI— Penduduk ramai namun hanya ada satu stesen minyak, itu pun selalu rosak dan selalu ditutup untuk penyelenggaraan.

“Paling-paling, tambahlah satu lagi stesen minyak di Belawai,” luah penduduk tempatan yang sering mengalami masalah membeli petrol berikutan stesen tersebut kerap diselenggara dan rosak.

Penduduk berkata, mereka terpaksa bergantung sepenuhnya dengan stesen minyak Tanjung Manis kerana itu sahaja pilihan yang paling dekat.

Menerusi hantaran yang dikongsi di media sosial, seorang pengguna mendakwa bulan lalu stesen itu tidak menjual petrol selama tiga bulan.

“Sangat menyusahkan. Bayangkan setiap kali pengguna terpaksa membeli minyak ke Sibu yang jaraknya 71 kilometer dari Belawai,” katanya.

Tinjauan Borneo Network mendapati, stesen minyak tersebut kerap ditutup kerana menghadapi isu berkaitan penyelenggaraan, paip pecah, teknikal selain pam minyak yang tidak berfungsi.

Terbaharu, pengurusan stesen minyak tersebut dalam hantaran di Facebook memaklumkan pemberhentian penjualan petrol 95 serta merta berkuat kuasa 26 Januari lalu.

Menurut notis itu, ia bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan bawah tanah, penyelenggaraan dan baik pulih. 

‘Kerja pemeriksaan dijangka mengambil masa tiga hari dan seterusnya kerja baikpulih dijangka mengambil masa tiga minggu. Kami memohon maaf kepada semua pihak dan para pelanggan diatas penutupan sementara ini,” kata notis itu.

Pada Oktober lalu, stesen tersebut turut memberhentikan penjualan petrol dan diesel beberapa hari berikutan kerja-kerja pemeriksaan bawah tanah, penyelenggaraan dan baik pulih.

Pada Ogos dan September pula, stesen itu terpaksa menghentikan jualan minyak petrol RON95 dan diesel kerana masalah sistem.

Stesen tersebut turut ditutup pada Mei dan April kerana terputus bekalan petrol.

Malah ada pengguna yang tertekan mencadangkan stesen itu ditutup sahaja sehingga bekalan petrol pulih.

“Ingin kami perjelaskan bahawa kami adalah sebuah stesen minyak mini, yang mana tangki petrol dan disel kami buat masa ini adalah kecil.

“Ada yang menyusulkan agar kami tutup sahaja stesen sehingga lori sampai. Tapi kami tidak boleh berbuat demikian hanya kerana kekurangan minyak petrol. Kami juga menjual diesel, menempatkan mesin ATM dan juga tempat untuk pembayaran bil. Adalah mustahil untuk kami tutup stesen sewenang-wenangnya.

“Kami amat faham perasaan para pelanggan apabila kejadian seperti ini berlaku kerana kami juga turut terjejas sebagai pengguna kenderaan. Kami tidak pernah sengaja untuk mengehadkan atau memberhentikan jualan minyak tanpa alasan yang munasabah,” katanya dalam hantaran itu.
Next Post Previous Post