Vios merah halangi ambulans di Jalan Tanjung Kidurong sudah disaman

BINTULU-- Kes tular kereta Toyota Vios merah halangi ambulans di Jalan Tanjung Kidurong, pemandu kereta terbabit telah dikenakan saman, kata Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali.

Jelasnya, pemandu terbabit lelaki warga emas berusia 74 tahun mempunyai masalah pendengaran.

"Difahamkan pemandu kenderaan Toyota Vios tersebut ada mengalami masalah pendengaran dan alat pembantu pendengaran beliau tidak berfungsi dengan baik pada masa tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nixon berkata kejadian itu dikatakan berlaku pada 30 Januari 2024 di Jalan Tanjung Kidurong jam lebih kurang 4.42 petang.

"Kejadian melibatkan sebuah Toyota Vios bewarna merah dan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Jelasnya, susulan kejadian itu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bintulu telah mengambil tindakan mengesan pemandu Toyota Vios tersebut. 

"Pemandu terbabit telah diambil tindakan saman di Bawah Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 iaitu kesalahan tidak memberi laluan kepada ambulans bersiren bergerak terus," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya. 

"Semua lalu lintas hendaklah memberikan laluan apabila ada siren amaran daripada kenderaan ambulans, polis dan bomba," tegasnya.
Next Post Previous Post