Penjawat awam, pelajar antara 5,791 ditahan kes dadah

KUALA LUMPUR— Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 5,791 individu termasuk remaja berusia 14 tahun dan warga emas 80 tahun atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 29 hingga 31 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, tangkapan dalam tempoh tiga hari itu dilaksanakan bersama JSJN negeri-negeri yang disertai 2,281 pegawai dan anggota.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di kawasan Felda dan Felcra, ‘port’ penagih, projek perumahan rakyat (PPR), sekatan jalan raya dan perkampungan nelayan.

“Seramai 6,061 individu diperiksa, daripada jumlah 5,791 orang berusia lingkungan 14 hingga 80 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan lain-lain kesalahan.

“Seramai 534 orang adalah tokan dadah termasuk seorang pelajar sekolah manakala 3,226 orang adalah penagih iaitu penjawat awam dan dua pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin menambah, seramai 247 orang dikehendaki turut ditahan termasuk 1,784 orang yang mana membabitkan lain-lain kesalahan.

Katanya, operasi turut merampas 128.3 kilogram (kg) dan 16,076 liter pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM610,071.

“Antara yang dirampas adalah syabu (4.02kg), ganja (8.7 kg), heroin (4.1 kg), ketamin (1.07kg) pil yaba (1.6 kg), serbuk ekstasi (23.7kg) dan air ketum sebanyak16,063 liter. 

“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 281,530 orang penagih dadah. 

“Polis turut menyita wang tunai bernilai RM34,872 dan pelbagai aset termasuk kenderaan, barang kemas dan jam tangan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Beliau menambah, keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bernilai RM1.55 juta.

Kesemua suspek disiasat dibawah pelbagai seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, individu dikehendaki dan juga Akta Racun 1952.
Next Post Previous Post