Depoh Rembus ART dijangka siap 2025

Lee melawat tapak Projek Pembinaan Bangunan Utama Depoh Rembus, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN— Kerja-kerja pembinaan Depoh Rembus untuk Kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) di bawah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) telah bermula hari ini dan dijadualkan siap menjelang Disember 2025.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Depoh bernilai RM260 juta dengan keluasan 54 ekar itu akan menempatkan enam komponen utama iaitu bengkel mekanikal, bengkel infrastruktur, pusat kawalan operasi (OCC) serta bangunan pentadbiran.

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia juga menempatkan stesen pengisian semula hidrogen, ruang simpanan gerabak dan trek percubaan.

“Saya akan memantau rapat kemajuan projek ini kerana kita mempunyai jadual yang padat dan semua fasiliti ini perlu disiapkan sebelum gerabak ART tiba. 

“Jika kemudahan tidak disediakan maka ia tidak dapat beroperasi. 

“Jadi kemajuannya mesti mengikut jadual dan selari baik dari segi fasiliti mahupun gerabak ART,” ujarnya ditemui media ketika melawat tapak Projek Pembinaan Bangunan Utama Depoh Rembus, Kota Samarahan di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee berkata pihaknya juga telah memberi maklum balas penambahbaikan kepada pihak pengeluar susulan fasa percubaan konsep prototaip ART di Kota Samarahan sejak November lalu untuk meningkatkan nilai estetik reka bentuk gerabak kenderaan berkenaan.

“Selepas tiga bulan, masa percubaan ini kita juga ada membuat cadangan untuk mengubah suai sedikit bentuknya dan itu semua sudah disampaikan kepada pengilang.”

Difahamkan, kenderaan ART pertama milik Sarawak bakal tiba dalam suku ketiga tahun ini.

Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa Sarawak telah menempah 38 unit gerabak ART untuk merealisasikan Projek Transformasi Pengangkutan Hijau berkenaan. 
Next Post Previous Post