Lapan termasuk dua wanita terlibat kes along ditangkap

KUCHING-- Lapan individu termasuk dua wanita dipercayai "along" ditangkap selepas disyaki terlibat kes gangguan dengan menyimbah cat di kediaman keluarga mangsa di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tangkapan itu terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 47 tahun.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, sejak awal Januari 2024 telah berjaya menahan enam lelaki dan dua wanita berkait kes gangguan pemberi pinjam wang (along) menyimbah cat di kediaman keluarga mangsa di sekitar kawasan daerah Kuching," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Saga, dua unit telefon bimbit, dua tong cat dan dua bilah pisau daripada suspek.

Tambahnya, suspek juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan jenayah dan juga kesalahan penyalahgunaan dadah.

Tegasnya, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak lima kes yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampaio dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

"Polis amat mengalu-alukan maklumat dari oramg ramai berkaitan dengan sebarang aktiviti kelakuan jenayah sebarang maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis yang berhampiran," ujarnya.
Next Post Previous Post