Sarawak jadi contoh pembangunan tenaga hijau

KUCHING-- Langkah drastik Sarawak dalam pembangunan mampan dengan memperkenalkan sumber tenaga baharu yang lebih mesra alam menjadi contoh kepada negeri-negeri lain termasuk negara luar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tenaga hidrogen yang diusahakan Sarawak mendapat perhatian dan menjadi contoh kepada negeri-negeri di Malaysia, malah negara luar.

Malah, katanya, penggunaan tenaga hidro boleh diperbaharui di Sarawak untuk pengeluaran hidrogen hijau melalui elektrolisis, menjadikan negeri ini sebagai peneraju serantau dalam peralihan tenaga hijau.

"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Sarawak bagi mempromosi tenaga hijau yang antaranya memanfaatkan sumber boleh diperbaharui.

"Minggu hadapan kita menerima kunjungan daripada delegasi dari negeri Pahang untuk belajar mengenai tenaga hidro yang boleh diperbaharui di Sarawak," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut usaha yang dimainkan Sarawak beliau menjelaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) adalah kunci utama untuk menjayakan usaha menambah baik tindakan ke arah tenaga hijau.

Beliau mengambil contoh potensi besar bagi mikroalga untuk mengubah landskap tenaga dengan menjadi bahan mentah boleh diperbaharui untuk biofuel, farmaseutikal dan sebagainya.

Justeru, beliau berbangga kerana Pusat Biodiversiti Sarawak dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad, Chitose Laboratory of Japan dan ENEOS Corp telah menubuhkan kemudahan demonstrasi pengeluaran biojisim mikroalga besar-besaran terbesar di dunia, seluas kira-kira lima hektar di Sejingkat, Kuching.

Katanya, Mikroalga juga menawarkan potensi besar untuk menghasilkan minyak alga mentah (CAO) yang digunakan dalam pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).

Menurut beliau lagi, kemudahan berskala komersial yang lebih besar akan dibina di Bintulu sekiranya usaha itu berjaya dan berdaya saing.

Tegasnya, peralihan tenaga adalah kunci kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi masa depan Sarawak dan bagi menyokong usaha dalam peralihan tenaga, Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak akan menggubal Dasar Peralihan Tenaga dan hala tuju untuk Sarawak.

Katanya, sebaik sahaja siap, disasarkan pada penghujung tahun ini, pelan hala tuju itu akan menjadi titik rujukan untuk Sarawak membuka jalan ke arah masa depan tenaga yang selamat, saksama dan mampan.
Next Post Previous Post