Pasar Malam Belia N6 Metrocity pasar malam digital pertama di Sarawak

KUCHING-- Pasar Malam Belia N6 Metrocity menjadi pasar malam digital pertama di Sarawak yang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini menerusi pelancaran Kempen E-Duit dan Cashless Pasar Malam di Pasar Malam Belia N6 Metrocity, Petra Jaya.

"Kempen ini selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkasakan ekonomi digital dan selari dengan visi Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

"Syabas dan tahniah Bank Negara Malaysia Kuching sebagai rakan strategik Persatuan Penjaja Petra Jaya (PPPJ), juga penyedia pembayaran utama seperti Fasspay, S Pay Global, Maybank, Bank Islam dan TNG Digital kerana menjadikan Pasar Malam Belia N6 Metrocity - pasar malam digital pertama di Sarawak," katanya pada majlis perasmian Kempen E-Duit dan Cashless Pasar Malam di Pasar Malam Belia N6 Metrocity, di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazzrudin A Rahman.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, pasar malam itu berjaya menarik lebih 2,000 pengunjung setiap malam.

"Alhamdulillah setakat ini 85 peratus peniaga di sini sudah menerima pakai pembayaran tanpa tunai.

"Sarawak memang agak ke depan dalam ekonomi digital dan menjadi negeri pertama melancarkan sistem pembayaran elektronik sendiri pada 2017 iaitu Sarawak Pay - kini dikenali sebagai S Pay Global," ujarnya 
Next Post Previous Post