Guru mahu ke Tanah Suci selepas lakukan amang seksual diberkas

KUALA LUMPUR— Hasrat seorang guru mahu menunaikan umrah selepas melakukan amang seksual terhadap pelajarnya tidak kesampaian selepas dia diberkas polis di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memetik Berita Harian, guru berusia 26 tahun yang didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah maahad tahfiz di Batang Kali, di sini.

Difahamkan, tiga pelajar lelaki berusia lingkungan lapan hingga 11 tahun menjadi mangsa gangguan seksual sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata lelaki itu diberkas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, jam 10.45 malam, pada Rabu.

Beliau berkata, penahanan dibuat berdasarkan hasil risikan dan maklumat polis.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Semua mangsa yang terlibat adalah pelajar suspek sendiri di maahad tahfiz berkenaan," katanya.

Ahmad Faizal berkata, suspek dibawa ke IPD Hulu Selangor untuk ditahan reman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.
Next Post Previous Post