Kanak-kanak 2 tahun antara pengemis warga asing ditahan

KUALA LUMPUR — Kanak-kanak berusia dua tahun antara 10 pengemis warga asing ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Bangsar, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Dato’ Ruslin Jusoh berkata operasi sekitar pekarangan Masjid Saidina Abu Bakar, Jalan Ara itu susulan aduan awam.

“Dalam operasi ini seramai 13 orang telah diperiksa dan hasil pemeriksaan lanjut, seramai 10 orang pengemis warganegara asing yang berumur di antara 2 hingga 41 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan adalah terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang perempuan warganegara Indonesia serta seorang lelaki dan dua orang perempuan dari Myanmar. 

“Turut ditahan adalah dua orang kanak-kanak lelaki dan dua orang kanak-kanak perempuan warganegara Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua pengemis warganegara asing yang ditahan ini telah ditangkap kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. 

“Kesemua ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menambah, tiga orang individu telah dilepaskan kerana merupakan warganegara tempatan. 

Katanya, tindakan pemeriksaan ini diambil susulan aduan awam berhubung kegiatan mengemis dalam kalangan warganegara asing yang sering berlaku di kawasan tersebut.

Gambar ihsan FB Jabatan Imigresen Malaysia
Next Post Previous Post