Fokus kerajaan Sarawak dapatkan MASwings tidak berubah

KUCHING-- Fokus kerajaan Sarawak untuk mengambil alih MASwings Sdn. Bhd (MASwings) tidak pernah berubah agar ia dapat menjadi entiti penerbangan baharu milik kerajaan negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ke arah itu malah digandakan bagi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai dengan jayanya.

 "Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah tegas untuk memperoleh MASwings sebagai komitmen dalam meningkatkan ketersambungan udara.

"Ini kerana ia merupakan aset penting untuk melengkapkan rangkaian pengangkutan dan logistik bagi membangunkan Sarawak sebagai hab penerbangan dengan mengembangkan perkhidmatan MASwings untuk memenuhi laluan serantau dengan tempoh penerbangan 6 hingga 7 jam," katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Yang Amat Berhormat Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, syarikat penerbangan milik Sarawak akan menjadikan perjalanan udara lebih berpatutan untuk segmen penduduk yang lebih luas. 

“Jadi, untuk kepentingan masa panjang, kita (kerajan Sarawak) perlu mempunyai syarikat penerbangan kita sendiri untuk rakyat Sarawak. 

“Justeru, saya tidak akan mengalah, saya tidak akan berundur, saya akan memperjuangkan syarikat penerbangan ini,” tegasnya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak juga komited untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma menjelang 2026 kepada pelajar Sarawak yang layak dan mendaftar di semua lima universiti dan kolej milik kerajaan iaitu Swinburne, Curtin, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Universiti iCATS dan Kolej Laila Taib.

Jelasnya, inisiatif ini adalah untuk menyokong pembangunan kemahiran seperti program bimbingan untuk memastikan tenaga kerja Sarawak diperlengkapkan untuk menghadapi cabaran dunia yang pesat berkembang. 

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki meminta warga Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) terus komited memberikan komitmen dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan moto “An Honour To Serve”.

Oleh itu, katanya, warga PANS harus berikrar memberikan komitmen berterusan dengan sepenuh hati untuk memastikan kejayaan pelaksanaan semua inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk pembangunan dan kemajuan Sarawak.

"Tahun 2024 menandakan permulaan era baharu bagi Sarawak terus mengorak langkah ke hadapan.

"Cabaran semasa ketidakstabilan ekonomi, perubahan iklim, krisis keselamatan makanan, dan peningkatan kos sara hidup, menyerlahkan keperluan mendesak bagi Perkhidmatan Awam Sarawak untuk memupuk kebolehsuaian dan daya tahan terhadap perubahan.

“Ini menuntut perkhidmatan awam kita untuk mengukuhkan kemahiran, merancang secara strategik, menggubal dan memperhalusi dasar, peraturan, dan proses kerja untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan keseluruhan penyampaian perkhidmatan untuk Sarawak yang lebih produktif dan berdaya tahan,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam landskap semasa yang tidak menentu, penerimaan perubahan dan mengamalkan amalan terbaik untuk lebih tangkas dalam memenuhi permintaan sektor swasta dan orang ramai amat diperlukan.

“Oleh demikian, kami dalam PANS akan sentiasa lebih terbuka terhadap perkongsian dan kerja berpasukan dengan semua pihak berkepentingan termasuk kepimpinan politik, sektor swasta, pemimpin masyarakat dan rakyat untuk memastikan penyelesaian yang komprehensif dan holistik memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.
Next Post Previous Post