Tak sempat sarung baju, tukang urut separuh bogel diserbu

KUANTAN— Tujuh wanita warga asing tidak sempat menyarungkan baju ketika sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang menyerbu sebuah pusat urut di sini malam semalam. 

Kesemua wanita berkenaan dalam keadaan separuh bogel sedang leka mengurut pelanggan masing-masing tanpa menyedari kehadiran penguat kuasa imigresen.

JIM Pahang dalam hantaran di Facebook berkata, serbuan Op Gegar yang dijalankan pada jam 8.30 malam itu membawa kepada tangkapan tukang urut berusia antara 28 hingga 44 tahun yang terdiri daripada 6 orang wanita Thailand dan seorang wanita China. 

“Kesemua mereka dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

“Pelanggan serta penjaga premis warga tempatan juga dikeluarkan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.

Selain itu pasukan operasi dengan kekuatan 20 orang pegawai itu turut menyerbu 10 premis lain yang terdiri dari kilang, kedai makan, kedai jahit dan kedai runcit. Hasil serbuan 11 orang lagi warga asing ditangkap terdiri daripada Indonesia (4), Bangladesh (2), Kemboja (1), Thailand (1), Myanmar (1), Pakistan (1) dan India (1).

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut. 

JIM Pahang akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini, kata kenyataan itu lagi.


Gambar ihsan JIM Pahang
Next Post Previous Post