Pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu disambung semula

Lukanisman semasa melawat tapak projek Klinik Kesihatan Lubok Antu yang terbengkalai lebih empat tahun.

LUBOK ANTU— Pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Lubok Antu yang bernilai RM28.9 juta akan disambung semula selepas projek itu terbengkalai sejak empat tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, kelewatan projek itu sebelum ini disebabkan oleh pihak kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan klinik berkenaan mengikut peratu yang dikehendaki.

“Kontraktor terdahulu hanya mampu menyiapkan projek itu 10 peratus. 

“Akibat kegagalan pihak kontraktor, rakyat setempat menyalahkan wakil rakyat dan kerajaan yang risau pelaksanaan projek sakit itu.

“Justeru, tender kontraktor berkenaan ditamatkan Julai tahun lalu,” katanya ketika lawatan ke tapak projek KK Lubok Antu, hari ini.

Lukanisman berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil keputusan membuka semula tender berkenaan dijangka selewat-selewatnya Jun atau Julai tahun ini.

Mengulas lanjut, kontraktor baharu yang dilantik akan menyiapkan baki 90 peratus pembinaan klinik itu dalam tempoh 24 bulan dan bakal beroperasi pada 2027.

Untuk rekod, pembinaan klinik itu bermula pada 29 Oktober 2019 dan dijadual siap pada 28 Oktober 2021.

Namun, selepas dua tahun dari tarikh yang dijadual siap, klinik kesihatan itu kini belum kelihatan kecuali cerucuk.

Penduduk dilaporkan hairan kenapa projek itu berhenti selepas menanam cerucuk tanpa menyedari ada individu bersawah padi di tapak pembinaan.

Penduduk kampung berkata berdasarkan pada papan tanda, penduduk Lubok Antu sepatutnya sudah menikmati kemudahan klinik kesihatan lebih selesa sekarang, namun selepas empat tahun hanya cerucuk yang masih berdiri.

Isu projek terbengkalai ini timbul selepas penduduk mengadu klinik yang ada sekarang tidak dapat menampung jumlah pesakit yang meningkat saban hari untuk mendapatkkan rawatan selain menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.

Borneo Network sebelum ini melaporkan, kegiatan bercucuk tanam padi menghalang kontraktor meneruskan kerja pembinaan di peringkat permulaan Klinik Kesihatan Lubok Antu.

Untuk rekod, projek klinik tersebut telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi di bawah Rolling Plan Ke-4, Rancangan Malaysia Ke-10 pada 2015.
Next Post Previous Post