Pengarah syarikat rugi RM120,000 terpedaya penipuan beli polycarbonate jenama ‘Jeng Cheng’

BINTULU-- Seorang pengarah syarikat rugi RM120,000 selepas menjadi mangsa kes penipuan pembelian barang binaan dalam talian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kes melibatkan mangsa berusia 60 tahun itu dilaporkan semalam di Bintulu.

"Menurut mangsa, beliau telah terima satu mesej melalui Whatsapp dari individu tidak dikenali yang mengatakan dari sebuah jabatan kerajaan di daerah Miri, pada awal Januari 2024 yang lalu. 

"Mesej yang dihantar suspek itu mengandungi dokumen pesanan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan 'polycarbonate natural anodized aluminium sliding window' dari syarikat mangsa bagi kerja-kerja menaik taraf sebuah pejabat jabatan kerajaan di Niah, Miri. 

"Menurut suspek, barangan tersebut mestilah jenama ‘Jeng Cheng’ dan hanya boleh dibeli dari satu pembekal yang terletak di bandaraya Miri sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mancha, selepas itu, mangsa telah menghubungi nombor telefon yang diberikan suspek dan berurusan dengan seorang lelaki tidak dikenali mendakwa sebagai pembekal polycarbonate jenama ‘Jeng Cheng’ untuk melakukan pembelian barangan tersebut.

"Mangsa kemudian telah melakukan tiga transaksi pemindahan wang dalam talian keseluruhan berjumlah lebih kurang RM120,000 ke satu akaun bank milik individu tidak dikenali pada pertengahan bulan Januari 
2024 untuk pembelian polycarbonate.

Jelasnya, mangsa hanya menyedari ditipu setelah barangan yang dibeli dan pesanan kerajaan seperti yang dijanjikan suspek tidak diterima. 

Selain itu, katanya, mangsa turut mendapat pengesahan jabatan kerajaan terlibat dan dimaklumkan tiada berurusan dengan beliau untuk kerja-kerja menaik taraf pejabat. 

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan," tegasnya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai atau pemilik-pemilik syarikat agar membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkenaan sebelum melakukan apa-apa transaksi pembayaran untuk pembelian barangan bagi kerjakerja pembinaan atau pengubahsuaian bangunan kerajaan.

"Jangan mudah terpedaya dengan harga atau keuntungan tinggi yang ditawarkan oleh suspek bagi sesuatu pembelian atau kerja-kerja pengubahsuaian bangunan," ujarnya.
Next Post Previous Post