Pemaju perumahan tidak wajib bina rumah mampu milik, Abang Jo

KUCHING— Pemaju perumahan berskala besar tidak diwajibkan membina rumah mampu milik di kawasan projek mereka, berkuatkuasa suku pertama tahun ini, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata,sebelum ini kerajaan negeri mewajibkan pemaju swasta membina 30 peratus rumah mampu milik untuk projek berkeluasan 10 ekar (4,047 hektar) atau lebih.

“Sebaliknya, pemaju perumahan diwajibkan membuat pembayaran gantian atau payment in lieu yang setara dengan 30 peratus ini.

“Dana ini akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Perumahan untuk kerajaan membangunkan sendiri rumah mampu milik yang berkualiti sekaligus tidak menjejaskan mana-mana pihak terutamanya pembeli kemudian hari,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Skim Perumahan Sungai Bedaun pada Sabtu.

Premier menambah, langkah dibuat ekoran ada sesetengah pemaju perumahan yang tidak jujur dalam memajukan tanah perumahan sehingga mendatangkan masalah seperti kerugian dan projek terbengkalai. 

“Ada pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab di mana dia tetapkan 30 peratus untuk harga mampu milik tetapi hasil rumah tersebut ‘cincai’ sahaja, malah ada yang terbengkalai. Contohnya projek Sentoria Borneo Samariang Garden yang sepatutnya siap pada 2020,”katanya.
Terdahulu, Abang Johari berkesempatan meninjau keadaan rumah di Skim Perumahan Sungai Bedaun bagi melihat sendiri kualiti rumah yang telah disiapkan. 

Projek Pakej 1 ini melibatkan Keluarga Tambahan daripada tiga buah kampung iaitu Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Ulu. 

Projek tersebut terletak di kawasan berkeluasan 46 ekar di mana sebanyak 209 unit rumah yang terdiri daripada empat jenis rumah mengikut kriteria pemilihan yang telah ditetapkan. 

Sementara itu, sebanyak 217 unit lagi rumah akan dibangunkan bagi fasa kedua.  

“Sebanyak 126 keluarga akan pindah dulu. Mereka akan pindah berfasa-fasa mengikut tahap pembangunan perumahan di kedua-dua kawasan ini.

“Harga rumah kalau kawasan 750 kaki persegi, harganya ialah RM99,500. Rumah yang mempunyai kawasan 850 kaki persegi, harganya RM120,000.

Menurutnya, pembeli akan diberi deposit dari Kerajaan Sarawak sebanyak RM10,000 manakala baki pembiayaan boleh melalui pinjaman Mutiara Mortgage.
Next Post Previous Post