Masjid Jamek Akan Diubah Suai Ikut Ilham Seni Bina Masjid Nabawi

KUCHING-- Masjid Negeri Sarawak, Masjid Jamek di Petra Jaya akan dinaik taraf mengikut ilham daripada seni bina Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia akan menjadi produk pelancongan keagamaan baharu untuk menarik kedatangan pelancong Islam ke negeri ini.

Beliau berhasrat untuk mengubah suai struktur Masjid Negeri Sarawak itu dengan menambah enam menara di bangunan sedia ada.

"Saya nak tambah menara masjid kita, dan bina seakan-akan Masjid Nabawi dengan harganya yang 'boleh tahan'...Selagi rezeki kita ada kita buatlah. 

"Kita hendak mengangkat semangat umat Islam untuk beribadat, menyebarkan syiar Islam, belajar dan memberi khidmat bakti kepada bangsa kita yang mana secara tidak langsung akan mengangkat martabat umat Islam itu sendiri," katanya dipetik dalam laporan UKAS.

Beliau semasa menyampaikan Wacana Perdana yang menghimpunkan agensi-agensi Islam Sarawak di Dewan Kompleks Islam, di sini malam tadi.

Usaha seumpama itu kata Abang Johari, bertujuan mencipta persekitaran yang membolehkan umat Islam, khususnya di negeri ini, mendalami ilmu agama sebagai langkah ke arah pembangunan insan yang holistik sebagaimana terkandung dalam Al-Quran.

Masjid Jamek dibina sejak 1990, dikategorikan sebagai masjid gred khas yang berkeupayaan memuatkan lebih 10,000 jemaah pada satu-satu masa.

Sementara itu, dalam wacana tersebut Abang Johari juga berkongsi mengenai pencapaian Sarawak sepanjang tujuh tahun di bawah kepimpinannya.

Beliau juga mengharapkan agar prestasi serta komitmen cemerlang kerajaan sedia ada akan berterusan dan mencapai sasaran 2030.

Turut hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Yang Amat Arif Datu Awang Suhaili Ledi serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Khalidi Ibrahim.

Terdahulu, Premier Sarawak bersama tetamu kehormat serta para jemputan yang hadir menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah disusuli dengan alunan zikir munajat beramai-ramai.

Majlis diakhiri dengan upacara memotong kek pulut kuning dan penyampaian cenderamata kepada Premier Sarawak yang disampaikan oleh Datuk Misnu Taha mewakili agensi-agensi Islam Sarawak sebelum menunaikan solat fardhu Isyak berjemaah.
Next Post Previous Post