Cliff anjing pengesan bomba Sarawak selamat disemadikan

SERIAN-- Anjing pengesan milik Unit Pengesan K9 Bomba Sarawak, Cliff yang mati akibat tumor dalam pundi kencing selamat disemadikan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata, kematian Cliff kehilangan besar buat Bomba Sarawak amnya dan K9 khasnya.

"Banyak jasa Cliff sepanjang berkhidmat dalam Unit K9 yang kita tidak boleh nafikan kerana ia memudahkan kerja-kerja kebombaan dalam misi mencari kes mangsa-mangsa yang hilang di hutan dan sebagainya.

"Sebab itu kita adakan majlis pengebumian hari ini bagi memberi penghormatan kepada Cliff yang telah menabur bakti kepada Bomba Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Cliff merupakan anjing pengesan milik merupakan anjing baka English Springer Spaniel berasal dari United Kingdom, dilahirkan pada Januari 2016 dan memiliki kepakaran dalam Cadaver. 

Cliff telah banyak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat di negeri ini termasuk runtuhan di City One Mall Kuching sejak ditempatkan di Unit Pengesan K9 JBPM Negeri Sarawak yang berpengkalan di BBP Serian di bawah jagaan PBK II Steven Ambu (Handler). 

Pemergian Cliff amat dirasai oleh seluruh pegawai dan anggota jabatan, khususnya dari JBPM Sarawak. 

Pengendali Cliff PBK II Steven antara individu yang paling terkesan atas pemergian Cliff kerana bersama sejak 2016 hingga ia meninggal.

"Operasi pertama kami adalah runtuhan di City One dan lokasi terakhir adalah di Long Miri dalam misi mencari mangsa lemas dipercayai dibaham buaya.

"Dia (Cliff) anjing yang manja kerana setiap kali saya masuk kereta untuk operasi pasti dia menyalak mahu ikut," katanya sambil menambah Cliff bersamanya sudah menjalankan lebih 10 operasi bersama.

Dalam perkembangan lain, Khirudin berkata pihaknya akan mencari pengganti Cliff memandangkan khidmat anjing pengesan amatlah diperlukan.

Jelasnya, kerajaan juga telah memperuntukkan RM12 juta untuk penggantian anjing-anjing K9 bomba dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan unit tersebut.

Tambahnya, ini kerana kebolehan anjing-anjing pengesan akan kurang mengikut usia mereka dan disebabkan faktor itu penggantian anjing-anjing pengesan ini perlu dilakukan dalam tempoh tertentu.
Next Post Previous Post