Tiong gesa polis segerakan siasatan kes tembak di Sibu

SIBU—Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu harus bersikap tegas dan memerangi habis-habisan akan kegiatan jenayah yang berlaku di Sibu demi keselamatan orang awam, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Datuk Sri Tiong King Sing.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong berkata, keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan yang mana ketidaktentuan khususnya yang melibatkan keselamatan boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat awam.

"Ketua Polis Daerah Sibu dan seluruh angkatannya harus memulakan serta-merta langkah proaktif dan tegas bagi memerangi kumpulan penjenayah khususnya yang terlibat dalam insiden tembakan jarak dekat yang berlaku di sebuah kedai kopi di Lorong 3 Jalan Wong King Huo pada Isnin lepas," tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Insiden tembakan ini jelasnya telah menimbulkan kegusaran dan mengejutkan semua pihak di Sibu yang seolah-olah mengambarkan Sibu sebagai sebuah bandar yang tidak selamat untuk didiami.

PDRM Sibu katanya harus bersungguh-sungguh dalam menangani unsur-unsur yang menyalahi undang-undang di kawasan Sibu dan mengambil tindakan tegas untuk mencegah sebarang aktiviti jenayah.

"Saya percaya bahawa PDRM Sibu berupaya bagi menjalankan siasatan secara progresif bagi menjalankan siasatan berhubung insiden ini sekaligus memerangi unsur-unsur jenayah berkaitan.

Tiong dalam masa sama menggesa Ketua Polis Daerah Sibu dan rakan sekerja untuk segera menyelesaikan kes ini dengan menggunakan langkah tegas terhadap kumpulan penjenayah terlibat.

Beliau dalam pada itu menyeru orang ramai supaya memberikan maklumat kepada polis dan bekerjasama dengan pegawai penyiasat bagi menangkap penjenayah yang suka mencetuskan kekacauan serta mengancam keselamatan awam demi kesejahteraan kehidupan komuniti di Sibu dan negeri ini amnya.

"Dalam masa sama, PDRM mesti meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang pada masa hadapan khususnya di kawasan berisiko seperti tempat hiburan termasuk bar terutama pada waktu malam," ujarnya. 

Semua pihak jelas Tiong harus bersama-sama membasmi penjenayah dan aktiviti jenayah lain bagi mencegah sebarang kegiatan haram dan melanggar undang-undang yang boleh menimbulkan ancaman kepada nyawa dan keselamatan orang ramai yang menjadikan penduduk Sibu hidup dalam ketakutan dan merasa tidak selamat.

Insiden tembakan di Sibu mengejutkan, Tiong desak polis bersungguh-sungguh perangi jenayah
Next Post Previous Post