Budak 11 tahun cedera parah nahas di Tatau

TATAU— Seorang budak berusia 11 tahun cedera parah manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan sebuah pikap di KM4, Jalan Tatau-Sibu,petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis berkata, polis menerima laporan kemalangan pada jam 5 petang membabitkan Proton Saga FLX dan Nissan Xtrail di lokasi.

“Siasatan mendapati semasa kejadian, Nissan Xtrail yang dipandu seorang lelaki tempatan dalam perjalanan dari Tatau menuju ke Sibu.

“Setibanya di lokasi kemalangan,pikap tersebut telah masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga yang dipandu seorang wanita tempatan.

“Akibat pertembungan itu, Nissan Xtrail terbabas lalu terlanggar pembahagi jalan dan tercampak keluar ke sebelah jalan,” katanya dalam kenyataan.

DSP Jame berkata, seorang kanak-kanak yang menaiki Proton Saga cedera parah pada bahagian kaki manakala seorang lagi penumpang cedera ringan.

Manakala dua lagi penumpang Nissan Xtrail turut mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tatau untuk rawatan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Next Post Previous Post