Awg Mohamad dilantik Pengarah JBALB Sarawak baru, bawa harapan kepada rakyat pedalaman

Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Awg Mohamad Fadillah Awg Redzuan (kanan) secara rasmi memulakan tugasan beliau di jabatan itu pagi semalam. Gambar ihsan JBALB Sarawak

KUCHING— Pelantikan Awg Mohamad Fadillah Awg Redzuan sebagai Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memberikan harapan baru kepada rakyat pedalaman yang mahu isu bekalan air bersih di negeri ini selesai.

Tinjauan Borneo Network mendapati, pelantikan beliau dianggap membawa ‘sinar baharu’ kepada jabatan itu selepas bekas pengarah jabatan itu terpalit dengan dakwaan rasuah pada tahun lepas.

“Rakyat sangat berharap kepada yang dilantik (pengarah baharu),” coret seorang netizen di ruangan komen.

Dakwaan rasuah bukan hanya menconteng arang kepada jabatan, malah menambah segunung kemarahan rakyat pedalaman dan pinggir bandar.

Mana tidaknya, sejak berpuluh-puluh tahun hingga sekarang masih ada penduduk yang bersusah-payah menadah air hujan untuk keperluan harian.

Rakyat di pedalaman menggadai nyawa mengambil air di sungai-sungai, menunggu masa untuk dibaham buaya. 

Dilaporkan, banyak perkampungan di Sri Aman belum lagi mendapat bekalan air bersih, walhal terletak di tepi-tepi jalan besar.

Bukan rakyat sengaja mengada-adakan cerita di media sosial konon mereka ‘terpaling tiada air paip’. Bukan kami media di lapangan juga yang sengaja mencurah minyak ke dalam api.

Namun isu tiada kemudahan bekalan air ini pernah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa Kembara Kenali Borneo pada September lalu.

Sepanjang kembara melalui Lebuhraya Pan Borneo itu, baginda menyedari bahawa penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini masih memerlukan keperluan asas.

Al-Sultan Abdullah bertitah, banyak aduan serta surat permohonan diterima daripada penduduk yang belum menikmati keperluan-keperluan asas seperti bekalan air.

“Ada dua kawasan yang memerlukan bekalan air secepat mungkin. Kalau tak silap (namanya) Kampung Telagas (Telagus) yang terletak di sepanjang lebuh raya,” titah baginda ketika berucap pada majlis jamuan Kerajaan Sarawak di Hotel Pullman pada 12 September lalu.

Kampung Telagus tersebut terletak di Serian. Selain itu, terdapat projek penyambungan bekalan air bersih ke kawasan kampung tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Projek paip besar berbilion-bilion di Belawai-Rejang-Jerijeh-Tanjung Manis, namun sudah bertahun-tahun mereput selepas disiapkan kerana sumber air yang diluluskan tidak selamat untuk kegunaan (not potable). Anehnya, siapa yang melulus, siapa pula kata tak selamat?

Dilaporkan media massa perdana, lebih 500 penduduk di Kampung Tepi Laut Hilir, Belawai, Tanjung Manis dibelenggu masalah bekalan air berikutan tekanan air yang rendah dalam tempoh lebih 20 tahun.

Setiap kali menjelang musim perayaan, rakyat yang tinggal di Kabong, Saratok, Simunjan dan banyak lagi kawasan mengeluh tidak cukup air.

“Bekalan air kerap tutup dengan alasan berlaku paip bocor, pemasangan paip dan pelbagai lagi. Tapi bil meningkat sedangkan penggunaan kurang. Dimana silapnya ni, sudah la bil kini macam tiada sudah dihantar ke rumah-rumah pengguna, tahu-tahu bil meningkat naik,” luah netizen.

Di daerah Pakan kawasan Engkamop misalnya, penduduk pernah mengadu bil datang setiap bulan walaupun sejak lapan bulan tiada bekalan air.

Masih ramai juga rakyat yang membayar dua kali untuk air, bayar elektrik untuk pam air dan bayar bil air sedangkan yang keluar cuma angin.

Kajian 2023 penggunaan bekalan air bersih untuk seluruh kawasan Belawai yang dijalankan tahun ini oleh Helmie Ekni dari Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Tanjung Manis tahun lepas mendapati 97.1 peratus daripada 137 responden mendapatkan air secara pam elektrik.

Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi satu hantaran di Facebook hari ini berkata, Awg Mohamad dilantik sebagai Pengarah JBALB yang baharu. 

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan cawangan Lebuhraya Pan Borneo, JKR Sarawak. 

Rakyat berharap JBALB Sarawak selepas ini dapat berfungsi dengan lebih efisyen demi kesejahteraan kepada rakyat yang sudah lama menunggu bekalan air bersih.
Next Post Previous Post