Tidak sempat edar dadah, empat dicekup di Lapangan Terbang Miri

MIRI— Empat individu termasuk seorang wanita yang disyaki mahu mengedar dadah bernilai RM277,200 di sekitar Miri tidak sempat berbuat demikian selepas mereka ditahan di Lapangan Terbang Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, keempat-empat suspek, warga tempatan berusia antara 23 hingga 34 tahun itu ditahan pada 28 Disember dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

“Hasil pemeriksaan polis merampas satu kotak mengandungi lapan bungkusan paket warna hijau dan didalamnya terdapat satu bungkusan plastik lutsinar.

“Setiap bungkusan itu berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 8400 gram bernilai RM277,200 dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, kesemua suspek direman lima hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di bawah seksyen yang sama, sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sebatan.
Next Post Previous Post