Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, Naib Canselor Unimas baharu
PUTRAJAYA— Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang baharu.
Penyampaian surat pelantikan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, pada petang tadi.
Lantikan itu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 8 Januari 2024 hingga 7 Januari 2027, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1991 dan 1994 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari universiti yang sama pada tahun 2001, Prof. Dr. Ahmad Hata turut memiliki pengalaman yang luas dalam pentadbiran organisasi di peringkat universiti.
Beliau merupakan penyandang Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS dari tahun 2019 dan pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS selama tujuh tahun dari tahun 2012.
“Pelantikan beliau dilihat mampu meneruskan agenda merakyatkan universiti dan menyumbang kepada pembangunan anak negeri Sarawak melalui kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“KPT juga yakin pelantikan Prof. Dr. Ahmad Hata mampu memacu kecemerlangan UNIMAS sebagai sebuah Universiti Komprehensif yang berteraskan kepada tiga bidang tujahan iaitu pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar; teknologi maklumat, komunikasi dan kreatif; serta kelestarian transformasi komuniti,”kata kenyataan itu.
KPT turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof. Dr. Mohamad Kadim Suaidi atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UNIMAS sebelum ini.
Gambar Kredit Kementerian Pendidikan Malaysia