Abang Jo umum dividen interim ASSAR 2.5 sen seunit

Abang Johari mengumumkan dividen interim ASSAR sebanyak 2.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

KUCHING— Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan pengagihan dividen interim Amanah Saham Sarawak (ASSAR) sebanyak 2.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Premier Sarawak itu berkata, pengagihan julung kali pasca penstrukturan semula ASSAR ini melibatkan pengagihan sebanyak RM11.71 juta kepada 57,613 pelabur iaitu dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2023.

Beliau berkata, pengagihan ini adalah berdasarkan perolehan bagi tempoh enam bulan pertama Tahun Kewangan semasa dan hal ini amatlah memberangsangkan memandangkan Tabung ASSAR pasca
penstrukturan hanya siap dilaburkan sepenuhnya pada bulan Julai 2023.

“Alhamdulillah, langkah penstrukturan semula yang berjaya disempurnakan pada 21 Oktober 2022 telah mula membuahkan hasil. 

“Buktinya, Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR telah meningkat secara konsisten kepada RM1.0854 pada 31 Disember 2023, iaitu pertumbuhan sebanyak 8.54% sejak
penstrukturannya,” katanya berucap pada majlis pengumuman dividen interim ASSAR di Hikmah Exchange Event Centre di sini hari ini. 

Setakat 31 Disember 2023, jumlah unit ASSAR telah meningkat daripada 100 juta unit pada awal pelancarannya kepada 468.35 juta unit, melibatkan penyertaan seramai
57,613 pelabur.

Sementara itu, jumlah pendapatan kasar yang dijana bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2024 ialah RM15.59 juta, di mana 49%
atau RM7.59 juta adalah pendapatan faedah sekuriti berpendapatan tetap.

Manakala 33% atau RM5.14 juta merupakan keuntungan daripada penjualan ekuiti/saham manakala selebihnya iaitu 18% atau RM2.86 juta merupakan pendapatan dividen daripada pegangan ekuiti, pendapatan faedah daripada instrumen pasaran wang dan keuntungan modal daripada penjualan sekuriti pendapatan tetap.

“Setelah ditolak perbelanjaan, pendapatan bersih Tabung ASSAR untuk enam (6) bulan tersebut ialah sebanyak RM13.29 juta.

“Strategi pelaburan baharu ASSAR yang memperuntukkan sekurang-kurangya 70% pelaburan dalam sekuriti berpendapatan tetap telah berjaya mengurangkan volatility daripada pasaran ekuiti yang kekal mencabar. Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan mampan dan kompetitif,” katanya.

Abang Johari berkata, ASSAR bersama syarikat induknya iaitu Permodalan ASSAR Sdn Bhd telah mengambil inisiatif untuk menstruktur semula ASSAR
bagi memastikan kemampanan jangka panjang ASSAR.

Katanya, antara perubahan utama yang telah diperkenalkan ialah meminda Objektif Pelaburan dan juga Dasar Pengagihan Pendapatan ASSAR di mana pengagihan pendapatan kepada pelabur akan dilakukan sekurang-kurangnya sekali bagi setiap Tahun Kewangan, bergantung pada tahap pendapatan bersih
yang dijana oleh ASSAR. 

“Di samping itu, mekanisme jaminan harga minima RM1.00 seunit yang dikekalkan sebagai ciri utama ASSAR, telah diperbaharui dengan beberapa penambahbaikan
dari segi pengoperasiannya.

“Secara keseluruhannya, penstrukturan semula ini merupakan pemangkin bagi meningkatkan potensi ASSAR untuk memberikannya permulaan baharu dengan asas modal yang lebih tinggi bagi membolehkan objektif pelaburan baharu dilaksanakan dengan jayanya.

“Alhamdulillah ASSAR masih berdaya tahan untuk terus memenuhi objektifnya walaupun dalam suasana ekonomi dan pasaran yang masih tidak menentu waktu ini. Saya berkeyakinan pihak pengurusan ASSAR akan melakukan yang terbaik untuk mengharungi segala cabaran yang mendatang.

“Saya percaya pihak pengurusan akan meneruskan kejayaan yang telah dicapai dalam usaha membina portfolio yang benar-benar berdaya tahan dengan mengoptimumkan gabungan kelas aset yang berbeza.

ASSAR telah dilancarkan pada 25 Ogos 1993 dengan objektif memberi peluang kepada rakyat bumiputera di Sarawak untuk turut serta menikmati
pembangunan ekonomi negara menerusi skim pelaburan secara kolektif di dalam pasaran modal.
Next Post Previous Post