Eneos, Sumitomo akan hasilkan hidrogen 'hijau' di Sarawak, Malaysia menerusi JDA SEDC Energy

Menteri Perdagangan dan Industri Jepun Ken Saito (tengah) dan Dr Hazland (dua kanan) merakam kenangan bersama pada Forum Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

TOKYO-- Syarikat minyak Eneos dan syarikat Sumitomo Corp akan mengeluarkan hidrogen 'hijau' di Malaysia iaitu di Sarawak dan akan mengeksportnya ke Jepun di bawah pelan hala tuju yang diumumkan pada Isnin.

Memetik laporan Asia Nikkei, langkah itu bagi mempelbagaikan lagi bekalan bahan api yang penting untuk penyahkarbonan.

Dua syarikat Jepun itu baru-baru ini, memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) dengan rakan kongsi bersama SEDC Energy untuk projek H2ornbill sebagai sebahagian daripada Hab H2 Sarawak. 

Perjanjian itu telah ditandatangani antara ENEOS, Sumitomo Corporation dan SEDC Energy di Kuching pada 25 Oktober 2023 dan pada masa ini ketiga-tiga pihak sedang mengusahakan butiran terperinci projek H2ornbill.

Semasa lawatan ke Tokyo baru-baru ini, untuk Forum Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC), ketiga-tiga pihak bersama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Ken Saito untuk berkongsi kemajuan kedua-dua belah pihak.

Menerusi JDA yang ditandatangani itu, syarikat-syarikat berkenaan juga akan mempertimbangkan untuk menubuhkan syarikat tujuan khas di Sarawak.

Kuasa daripada loji hidroelektrik akan digunakan untuk mengelektrolisis air untuk menghasilkan hidrogen hijau tanpa mengeluarkan karbon dioksida. 

Matlamatnya adalah untuk menghasilkan 90,000 tan setahun menjelang 2030. 

Bagaimanapun, skala pelaburan akan dimuktamadkan pada masa hadapan.

SEDC Energy akan menerajui perolehan kuasa dan pengeluaran hidrogen, dengan Eneos akan menyediakan sokongan teknikal untuk pengeluaran itu. 

Eneos juga akan menyumbangkan teknologi proprietari untuk mengangkut hidrogen melalui laut pada suhu bilik. 

Manakala Sumitomo akan menilai kebolehlaksanaan projek dan pembiayaan.

Hidrogen, yang tidak menghasilkan CO2 apabila dibakar, adalah penting untuk penyahkarbonan dalam bidang seperti penjanaan kuasa, pengangkutan dan pembuatan. 

Tetapi ia mahal untuk dihasilkan di Jepun, di mana kos tenaga boleh diperbaharui adalah tinggi.

Kerajaan Jepun telah menetapkan matlamat untuk meningkatkan bekalan hidrogen di Jepun kepada 3 juta tan setahun menjelang 2030, Eneos dan Sumitomo sedang berusaha untuk menghasilkan dan mengangkut hidrogen hijau dari seluruh dunia.

Sementara itu, Dr Hazland dipetik berkata, JDA antara SEDC Energy, Sumitomo Corporation dan ENEOS menggariskan penubuhan kerjasama rantaian bekalan hidrogen bersih, menjana sekitar 90,000 tan hidrogen bersih. 

"Pengeluaran ini juga termasuk 2,000 tan yang ditetapkan untuk kegunaan tempatan di Sarawak.

"Tenaga kuasa hidro Sarawak menjadi penyebab kepada terjalinnya hubungan sebagai rakan kongsi dari negara Jepun itu dalam memainkan peranan mereka dalam Hab Hidrogen Sarawak di Bintulu. 

"Sistem grid berkuasa hidro di negeri ini yang akhirnya akan menghasilkan hidrogen yang lebih bersih menjadikannya menarik bagi pelabur," tambahnya.

Dalam JDA, peranan SEDC Energy adalah untuk menerajui aspek teknikal pengeluaran hidrogen, memfokuskan pada penyepaduan dan pengoptimuman proses perolehan tenaga untuk projek itu.

Matlamat untuk projek tersebut adalah untuk memulakan pengeluaran hidrogen bersih menjelang 2030 dan semua pihak yang terlibat akan memasuki fasa Reka Bentuk Kejuruteraan Front-End (FEED) tidak lama lagi. 

"Bintulu dipilih untuk lokasi hab itu kerana kompleks perindustrian petrokimia sedia ada, yang mempunyai kelebihan kerana dapat menggunakan kemudahan sedia ada untuk pengeluaran Methylcyclohexane (MCH) yang akan digunakan untuk mengangkut hidrogen ke Jepun.

"Hab H2 Sarawak dan projek H2ornbill juga diiktiraf dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR) negara. 

"Kerjasama yang telah mencapai kemajuan yang ketara ini juga adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, memfokuskan kepada penggunaan hidrogen untuk mengubah Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030," katanya.

Projek tersebut juga dilihat dapat meningkatkan lagi impian hidrogen Malaysia seperti yang dinyatakan dalam NETR.
Next Post Previous Post