Indeks Jenayah Sarawak Terkawal

KUCHING—Indeks jenayah di Sarawak masih dalam keadaan terkawal secara keseluruhannya. 

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, statistik dari Januari hingga Disember 2023 menunjukkan peningkatan jenayah kepada satu peratus sahaja manakala jumlah penjelasan kes mencecah 90 peratus. 

“Walaupun terkawal, usaha berterusan harus diteruskan secara bersepadu untuk mengawal keadaan sama ada dari segi keselamatan ataupun ancaman dan juga aktiviti-aktiviti jenayah narkotik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis. 

Jelasnya, ini merupakan kunjungan hormat pertamanya kepada Premier Sarawak sejak memikul tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak baharu berkuatkuasa 13 November lepas. 

Tambahnya, kunjungan hormat tersebut turut membincangkan perkara mengenai keperluan meningkatkan aspek keselamatan di kawasan sempadan darat dan juga laut. 

Dalam pada itu, Dato Mancha yang berasal dari Asajaya, Samarahan dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang berpindah ke Bukit Aman bagi menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus. 

Sumber UKAS
Next Post Previous Post