COVID 19: Subvarian Omicron HK.3 dan JN.1 dikesan di Sarawak

KUCHING—Subvarian Omicron HK.3 dan JN.1 dikesan di kawasan Kuching/Samarahan dan Sibu, menurut Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr David Perera.

Beliau berkata, kes dengan varian dominan itu meliputi 26 peratus HK.3 manakala JN.1 sebanyak 49 peratus daripada kes yang menjalani penjujukan genom di IHCM.

“Kedua-dua varian itu ditemukan dalam 61 sampel diterima dari Kuching/Samarahan dan beberapa kes dari Sibu sejak November hingga bulan ini.

“Sehubungan itu orang awam dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga terutama menjelang musim perayaan,” katanya pada Khamis.

Sementara itu, UKAS melaporkan Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah memperuntuk sejumlah RM4.85 juta bagi menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini. 

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi membina Hospital Medan di Kuching untuk menampung pesakit COVID-19 serta diperluas dan digunakan sebagai wad penyakit berjangkit. 

“Sebanyak RM2.1 juta turut diperuntuk bagi menambah stok Paxlovid untuk menampung permintaan yang semakin meningkat untuk ubat tersebut terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi dengan komorbiditi dan warga emas,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis. 
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, RM300,000 pula disalurkan bagi menambah stok kit ujian pantas (RTK) antigen untuk mendapatkan ujian diagnostik yang lebih pantas dan boleh dipercayai bagi mengesan COVID-19.

“Sebanyak RM450,000 akan diperuntuk untuk membeli kanopi yang akan dipasang di kawasan ‘triage’ hospital untuk manfaat pesakit yang (jumlahnya) bakal meningkat,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau berkata sebanyak 631 kes COVID-19 telah dicatatkan di Sarawak pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Disember yang mana ia melihat peningkatan berbanding ME ke-49 yang mencatat 310 kes.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam) Dr Veronica Lugah. 

Semalam, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2 juta untuk membuat tempahan ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan untuk menghadapi peningkatan semula wabak Covid-19.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ubat berkenaan akan diagihkan di semua fasiliti kesihatan kerajaan di negeri ini bagi menampung keperluan rawatan dan akan dibekalkan kepada pesakit secara percuma.

Menurutnya, langkah itu diputuskan selepas beliau berbincang dengan Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, semalam.
Next Post Previous Post