Abang Jo: Arkitek Revolusi Hidrogen, Bapa Pendigitalan Sarawak

Cemerlang..Sarawak memiliki pendapatan paling tertinggi berbanding negeri-negeri lain, iaitu mencecah hampir RM12 bilion sejak Abang Jo menjadi Premier.

KUCHING-- Kalau sebut nama 'Abang Jo' atau Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mungkin ramai lebih mengenali beliau dengan perkataan 'ketek ajak' yang menjadi fenomena di media sosial.

Namun, mungkin tidak ramai mengetahui pencapaian dan kejayaan yang telah dicapai pemimpin nombor satu Sarawak itu terhadap negeri ini.

𝐏𝐞𝐫𝐦𝐮𝐥𝐚𝐚𝐧 𝐄𝐫𝐚 𝐑𝐞𝐯𝐨𝐥𝐮𝐬𝐢 𝐊𝐞𝐩𝐢𝐦𝐩𝐢𝐧𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐉𝐨

Imbas detik kejayaan setahun yang lalu..Abang Jo (duduk tengah) bersama presiden parti-parti komponen serta calon-calon GPS yang menang pada PRU-15, 20 November 2022.

Setelah kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018 lalu, Abang Johari mengorak langkah drastik dalam mengubah landskap politik Sarawak dengan keputusan keluar daripada BN dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Penubuhan GPS adalah sebagai landasan baharu kerajaan Sarawak bagi melindungi hak dan kepentingan negeri demi memastikan masa depan Sarawak terus terjamin.

Abang Johari yang merupakan pengerusi gabungan itu dipetik berkata, entiti yang dtubuhkan pada 12 Jun 2018 itu, tidak akan menjadi perikatan politik seperti sebelum ini dan mampu memberi keutamaan negeri ini selaras dengan kehendak rakyat pada era politik baharu.

Tegas beliau, PRU-14 telah memberi satu kejutan yang membawa perubahan kepada landskap politik negara berikutan kekalahan BN di peringkat persekutuan.

“Perubahan ini menyaksikan parti komponen BN negeri yang memerintah Sarawak keluar untuk membentuk GPS dengan melaksanakan dasar berpaksikan rakyat Sarawak serta melaungkan slogan perjuangan ‘Utamakan Sarawak atau 'Sarawak First'," katanya ketika berucap melancarkan GPS di Stadium Perpaduan.

Dengan penubuhan GPS, kepimpinan Abang Johari berjaya memikat hati rakyat Sarawak menerusi keputusan bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang menyaksikan GPS membolot 76 daripada 82 kerusi yang dipertanding.

Malah, GPS juga mengukuhkan kedudukannya di Dewan Rakyat setelah berjaya memenangi 23 kerusi Parlimen Pilihan Raya Umum ke-15.

𝐑𝐞𝐯𝐨𝐥𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐨𝐥𝐢𝐭𝐢𝐤 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤 

Mesra rakyat… Abang Jo bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak di Telok Melano, Sematan sempena penutupan Kembara Borneo pada 13 September lalu.

Dengan kemenangan besar dan sokongan padu rakyat Sarawak terhadap kepimpinan Abang Johari, Sarawak buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia menyaksikan wakil rakyat dari Pulau Borneo pertama dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof dari GPS.

Selain itu, barisan wakil rakyat GPS juga dilantik dalam jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, kepimpinan Abang Johari juga sering mendapat pujian daripada Perdana Menteri setiap kali berkunjung ke negeri ini.

𝐑𝐞𝐯𝐨𝐥𝐮𝐬𝐢 𝐄𝐤𝐨𝐧𝐨𝐦𝐢 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤 

Abang Jo yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu menunjukkan dokumen Belanjawan 2024 dengan nilainya mencecah RM12.3 bilion, terbesar dalam sejarah negeri.

Di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak mengorak langkah dengan memperkenalkan ekonomi digital dan hijau.

Ini membuka ruang pintu yang luas untuk pelabur datang melabur ke negeri ini.

Selari dengan usaha itu, Sarawak berjaya mencatatkan hasil pendapatan sebanyak RM11,630 bilion setakat Oktober 2023 di mana jumlah tersebut melebihi anggaran hasil asal yang ditetapkan Kerajaan Sarawak sebanyak RM11,035 bilion.

“Berdasarkan prestasi hasil kami setakat ini, kutipan hasil kami untuk tahun ini diunjurkan sebanyak RM12,718 bilion, meningkat 7 peratus berbanding hasil 2022 kutipan sebanyak RM11,910 bilion.

“Ini akan menjadi kutipan hasil Sarawak yang memecahkan rekod dan tertinggi dalam sejarahnya,” umum Abang Johari pada persidangan DUN lepas.

𝐑𝐞𝐯𝐨𝐥𝐮𝐬𝐢 𝐈𝐧𝐟𝐫𝐚𝐬𝐭𝐫𝐮𝐤𝐭𝐮𝐫 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤

Sumber ekonomi baharu..Abang Jo melawat fasiliti janakuasa alga pertama yang terbesar di dunia di Sejingkat.

Dengan kedudukan politik dan ekonomi yang stabil di bawah pimpinan Abang Johari, Sarawak berjaya melaksanakan projek-projek mega di negeri ini.

Antaranya pembinaan Jambatan Batang Lupar, Jambatan Bintulu, Jambatan Batang Lassa, Jambatan Rambungan, Jambatan Samarahan 2 dan sebagainya.

Selain itu, Kerajaan Sarawak juga giat melaksanakan Projek Jalan Utama 2 yang menghubungkan Jambatan Samarahan ke Jambatan Batang Sadong dan seterusnya ke Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1.6 bilion.

Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo, jarak keseluruhan projek tersebut adalah 50.54 kilometer dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028.

“Projek ini sudah bermula dimana kontrak sudah diberikan kepada kontraktor pada bulan Oktober lepas.

“Ia merupakan jalan baharu yang menghubungkan Jalan Pesisir dan Jalan Pan Borneo, yang seterusnya membuka sepenuhnya kawasan penempatan selagi gus merancakkan
pembangunan di seluruh negeri,” katanya.

Bagi kerja-kerja pembinaan Jambatan Bintulu - Jepak pula ia telah mencapai kemajuan sebanyak 66.7 peratus dan bakal siap pada Oktober 2024. 

Projek pembinaan Jambatan Batang Lassa yang bakal menjadi penghubung penting penduduk di kawasan wilayah tengah dan Matu-Daro khususnya, pula kini mencapai prestasi siap sebanyak 87.37 peratus.

Setakat ini kerja pembinaan jambatan kedua terpanjang di Sarawak itu berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

Selain jambatan, masalah kesesakan yang menghantui penduduk di Samarahan juga berjaya diatasi dengan projek naik taraf lima bulatan di kawasan tersebut kepada sistem lampu isyarat sekali gus mengubah wajah kawasan tersebut.

Bagi projek Jalan Utama Kedua yang merupakan projek Kerajaan Sarawak pula berjaya memendekkan tempoh perjalanan dari Kuching ke Sibu daripada lima jam kepada 2½ jam dengan jarak 235 kilometer apabila siap kelak.

Jalan Utama Kedua ini menghubungkan Kuching-Sibu dengan Lebuh Raya Pan Borneo melalui Jalan Sebuyau-Sri Aman-Betong.

Sementara itu, projek Kerajaan Sarawak iaitu Jalan Pesisir Pantai dengan jarak 896km pula akan menghubungkan bandar-bandar seperti Kota Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Kabong, Tanjung Manis, Daro, Matu, Igan, Oya, Mukah, Balingian, Bintulu dan Miri ke Lebuh Raya Pan Borneo.

𝐑𝐞𝐯𝐨𝐥𝐮𝐬𝐢 𝐒𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧𝐠𝐤𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐀𝐰𝐚𝐦

Terajui peralihan ke arah ekonomi hidrogen..Abang Johari turut memperkenalkan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen di Sarawak yang dijangka dapat digunakan menjelang 2025.

Bercakap tentang kemudahan pengangkutan awam di Sarawak, mungkin tidak ramai mengetahui bahawa Abang Johari berjaya mengubah sistem pengangkutan awam di negeri ini ke arah mesra alam.

Ini menerusi pengenalan kepada kenderaan bus berkuasa hidrogen yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelanggan di sekitar bandar raya Kuching.

Pada masa sama Abang Johari turut memperkenalkan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen di Sarawak yang dijangka dapat digunakan menjelang 2025.

Sistem pengangkutan baharu di Sarawak itu kini menjalani latihan bukti konsep (POC) ART di laluan khasnya di Kota Samarahan.

Pembinaan ART ini merupakan sebahagian daripada projek Kuching Urban Transportation System (KUTS) oleh kerajaan Sarawak sendiri.

Semua laluan khas Transit Aliran Automasi (ART) Sarawak bakal dilengkapi dengan sistem lampu isyarat pintar yang mengguna pakai teknologi ‘Transit Signal Priority’ (TSP) untuk memastikan kelancaran trafik optimum.

Selain itu, Sarawak dijangka dapat menyelesaikan proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings selepas suku kedua atau ketiga tahun depan.

Abang Johari memberitahu, ketika ini proses pengambilalihan sedang dilaksanakan Kerajaan Sarawak dan proses pengambil alihan itu membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

𝐑𝐞𝐯𝐨𝐥𝐮𝐬𝐢 𝐊𝐞𝐬𝐢𝐡𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤

Abang Jo mengiringi Tun Taib dan Toh Puan Ragad yang tiba bagi istiadat pembukaan Persidangan DUN.

Kepimpinan Abang Johari juga berjaya merealisasikan usaha Sarawak untuk mewujudkan hospital pengajar institusi pengajian tinggi pertama di negeri ini di bawah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Projek yang dalam pembinaan itu terdiri daripada dua komponen utama iaitu pertama dipanggil Pusat Kesihatan Primer yang terdiri daripada klinik-klinik pakar yang akan siap pada hujung tahun ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Manakala komponen kedua iaitu hospital pengajar universiti akan siap pada Julai 2025, dua tahun dari sekarang.

Projek tersebut menelan belanja lebih RM500 juta yang memakan masa kira-kira empat tahun untuk disiapkan.

𝐊𝐞𝐬𝐢𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚

Aspirasi rendah karbon..Abang Johari mencuba kenderaan elektrik yang dipamerkan semasa Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 3.0) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK)

Justeru, banyak lagi kejayaan yang dikecapi di bawah kepimpinan Abang Johari sejak menerajui kepimpinan negeri yang mesti rakyat tahu termasuk mengambil semula Pelaburan Bintulu, penurunan kuasa dalam bidang pendidikan dan perkara lain mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Oleh itu, rakyat Sarawak diharap dapat terus memberi sokongan padu kepada Abang Johari untuk menerajui kerajaan Sarawak ke arah yang lebih cemerlang dan nombor satu di Malaysia dan Asia.
Next Post Previous Post