Fadillah Anak Borneo Pertama Dilantik TPM

KUCHING-- Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas memberi impak besar buat landskap politik negara apabila buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia seorang wakil rakyat daripada Borneo dilantik memegang jawatan kedua tertinggi negara iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Wakil rakyat itu dari Gabungan Parti Politik Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof, yang merupakan anak jati Kampung Baru, Sibu.

Pelantikan itu berikutan kedudukan GPS yang stabil dan juga disifatkan 'kunci emas' untuk membentukkan kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh.

Latar Belakang

Mengambil berat kebajikan rakyat..Penampilan sederhana dan sikap merendah diri membuatkan Fadillah begitu disenangi pelbagai lapisan masyarakat.

Fadillah yang merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya dilahirkan pada 17 April 1962, mendapat pendidikan tertinggi dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya.

Beliau pernah memegang jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi, Menteri Kanan Kerja Raya, Menteri Kanan Infrastruktur dan Menteri Kerja Raya, Menteri Kerja Raya dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Jawatan beliau dalam politik pula, sebagai Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004 hingga kini, dan Fadillah juga merupakan Naib Presiden Kanan Parti PBB dan Ketua Whip Parlimen GPS.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri 

Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof mengangkat sumpah jawatan di hadapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara di sini hari ini.

Fadillah memberitahu, jawatan tersebut merupakan tanggungjawab yang besar yang harus dipikul dan bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan tetapi lebih kepada ke arah memperkasakan gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata amanah itu perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

"Insya Allah saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini berpaksikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mahukan kita memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur.

"Semoga kita tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara," katanya.

Rombakan Kabinet Persekutuan

Kepimpinan yang diiktiraf…Benih yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan jika campak ke laut menjadi pulau. Begitulah sosok bernama Fadillah, tidak hanya memegang porfolio sebagai Timbalan Perdana Menteri, terbaharu beliau diberi kepercayaan menjadi Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Pengerusi Jawatankuasa Tangani Kos Sara Hidup di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sebelum penghujung tahun ini, rombakan Kabinet dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan perlantikan muka baharu yang berwibawa, pengwujudan kementerian baharu, penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat. 

Dalam rombakan itu, sekali lagi Fadillah dikekalkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan diamanahkan memimpin kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kepercayaan untuk saya menerajui kementerian baharu," katanya.

Malah, pelantikan itu juga mendapat sokongan positif daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyifatkan pengwujudan kementerian baharu itu bertepatan dengan usaha Sarawak beralih ke arah teknologi tenaga hijau.

"Terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan kementerian tenaga (Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam) ini kepada Fadillah.

"Dengan penekanan Sarawak kepada tenaga boleh diperbaharui adalah wajar bagi Fadillah untuk menyelaraskan semula dasar tenaga untuk meletakkan Malaysia sebagai hab hijau di rantau ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Tugas Baharu dan Berat Menanti 2024

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum menjelangnya tahun baharu 2024, Fadillah sempat memberitahu bahawa beliau akan berdepan dengan tugas yang berat.

Malah, beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tangani Kos Sara Hidup di Sabah, Sarawak dan Labuan yang mana pada masa kini rakyat di seluruh negara berdepan dengan isu kenaikan harga barang keperluan.

Bagaimanapun, beliau berjanji dan berikrar akan melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Tetap Diutamakan

Segulai sejalai…Fadillah meraikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dari Belaga, Kapit yang melawat beliau di Parlimen sempena sidang Dewan Rakyat. Fadillah turut menerima parang ilang Orang Ulu yang melambangkan simbol kepahlawanan dalam konteks moden, seorang pemimpin atau tokoh yang disegani ramai.

Bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak tetap menjadi keutamaan beliau dalam usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan MA63 ditempat sepatutnya, sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

Fadillah yang menyandang jawatan pengerusi bagi 19 buah jawatankuasa dengan salah satunya ialah Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan (MTP) MA63.

Di bawah usaha itu juga, pengembalian semula Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak turut menyaksikan perkembangan positif yang mana ia akan dikembalikan sepenuhnya tahun depan.

Selain itu, bidang kuasa pendidikan dan kesihatan juga akan dikembalikan kepada Sarawak bagi memudahkan pentadbiran berkaitan bidang tersebut.

Kebajikan Anak Sarawak Tetap Dijaga 

Disayangi ramai…Fadillah ketika menjawat tugas Menteri Perladangan dan Komoditi dalam perjalanan ke  Hutan Simpan Sabal, Simunjan singah di Hentian Sebelah Balai Ringin, sempena Program Trek Komoditi Zon Sarawak. Beliau sempat meluangkan masa mengendong seorang kanak-kanak dan beramah-mesra dengan penduduk tempatan.

Menerusi usaha yang dimainkan Fadillah, bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta Labuan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam atau FLYsiswa diperkenalkan sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman.

Ia merupakan ihsan Kerajaan Perpaduan untuk menangani isu mobilisasi pelajar yang memerlukan tiket penerbangan pada harga yang berpatutan.
 
“Pelaksanaan inisiatif FLYsiswa Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Pengangkutan ini merupakan manifestasi nilai-nilai Malaysia Madani merangkumi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. 

“Usaha ini amat signifikan kepada Kerajaan Perpaduan yang sentiasa komited dan responsif untuk memastikan suara rakyat didengari terutama rintihan para pelajar univesiti awam, berkaitan kenaikan harga tambang perkhidmatan pengangkutan udara terutama yang melibatkan laluan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Untuk rekod, inisiatif FLYsiswa dipersetujui Jemaah Menteri pada 12 Julai dan mula dilaksanakan pada 15 Ogos melalui kaedah pemberian baucar digital bernilal RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Malah, Fadillah memberitahu kerajaan Sarawak di bawah GPS juga telah memperkenalkan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) sejak 2019.

Katanya, menerusi iGPS Kerajaan Sarawak memberikan subsidi tambang penerbangan RM300, dua kali setahun untuk anak Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan

“Antara Januari hingga November 2023 ini sahaja seramai 21,819 pelajar Sarawak menikmati bantuan berkenaan melibatkan subsidi sebanyak RM6.5 juta.

“Jumlah ini meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 14,699 pelajar (RM4.4 juta) pada 2022 ; 4,775 pelajar (RM1.4 juta pada 2021) dan 13,167 pelajar (RM3.9 juta pada 2019 hingga 2020),” katanya.

Setakat ini seramai 54,460 anak Sarawak sudah dibantu menerusi i-GPS dengan bantuan berjumlah RM16.3 juta.

Pencapaian Fadillah

Dikagumi pemimpin Asia.…Fadillah menerima kunjungan daripada Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste, Dato’ Sri Francisco Kalbuadi Lay di Jabatan Perdana Menteri awal bulan ini, bagi menzahirkan penghargaan kepada Malaysia di atas sokongan dan semangat setiakawan dalam pembangunan ekonomi dan usaha Timor-Leste menyertai ASEAN.

Sepanjang dilantik memegang jawatan penting itu, Fadillah berjaya membawa kecemerlangan buat Sarawak selepas usaha panjang Sarawak dalam memperjuangankan hak-hak Sarawak yang sekian lama terhakis sedikit demi sedikit ia dikembalikan semula.

Antara kejayaan itu adalah kerajaan persekutuan bersetuju untuk mengembalikan semula hak milik sejumlah 55 lot tanah kepada Sabah dan Sarawak selaras dengan MA63 yang membabitkan 52 lot tanah di Sarawak dan tiga di Sabah daripada keseluruhan 219 lot tanah yang dikenal pasti.

Katanya, kerajaan Sabah dan Sarawak akan membayar pampasan kepada Kerajaan Persekutuan berdasarkan nilai asal sewaktu awal pemilikan.

Dalam pada itu, Fadillah juga berusaha menyelesaikan segala tuntutan berkaitan MA63 dalam tempoh yang diamanahkan Perdana Menteri.

Tegasnya, tumpuan utama ketika ini adalah berbincang di peringkat kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mengenai tuntutan negeri di peringkat persekutuan.

"Yang mana (perkara mudah) dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan ini kita selesaikan. Mana yang sudah dibincangkan dulu yang boleh dimuktamadkan, kita harap dapat dimuktamadkan dalam tempoh sebulan ini.

"Selebihnya inshaAllah kita akan melihat (memperincikan). Mungkin ia terpaksa dibawa ke Parlimen untuk diluluskan Dewan Rakyat makan kita bawa ke Dewan Rakyat," katanya.
Next Post Previous Post