Malaysia berdepan cabaran dapatkan bahan mampan untuk industri perkayuan

SIMUNJAN-- Malaysia kini berdepan cabaran untuk mendapatkan bahan mampan bagi industri perkayuan, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau memberitahu, ini kerana Malaysia tidak boleh bergantung terus dengan sumber bahan mentah perkayuan dengan menebang pokok di hutan yang mana ia perlu dilindungi dalam apa jua keadaan.

"Oleh itu, saya menyarankan komuniti setempat untuk terlibat dalam aktiviti penanam semula pokok bagi meningkatkan bahan mentah dalam industri perkayuan di negeri ini.

"Untuk makluman, eksport perabot Malaysia kini berada di tangga keenam," katanya semasa melawat Projek Model Ladang Hutan di Hutan Simpan Sabal di sini sempena program Trek Komoditi Zon Sarawak, Industri Perkayuan (Ladang Hutan) Sarawak dan Program Le Tour De Restoration: Greening Sarawak Campaign (LTDR) 2.0 hari ini.

Tambah Fadillah, komuniti setempat perlu mengambil bahagian dalam usaha menanam semula pokok ini termasuk penduduk di rumah panjang.

Kata beliau, pihaknya sedia membantu komuniti setempat bagi menanam spesis pokok yang boleh tumbuh dan membesar dengan cepat.

Tegasnya usaha itu dapat meningkatkan bekalan bahan asas terhadap pemain industri perkayuan.

Mengulas tentang Model Projek Ladang Hutan itu Fadillah berkata, ia merupakan kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bermula pada tahun 2010, bertujuan untuk memberi panduan dalam pengurusan dan pembangunan ladang hutan di Sarawak.

"Objektif penubuhan ladang hutan adalah bagi menampung keperluan bahan mentah industri perkayuan dan mengurangkan kebergantungan terhadap hutan asli sedia ada.

"Di Sarawak, inisiatif penubuhan ladang hutan telah bermula sejak tahun 1997 dan sehingga 30 Jun 2023, seluas 578,774.16 hektar ladang hutan telah dibangunkan di Sarawak melibatkan pelbagai spesies seperti Acacia Mangium (54%), Batai (19%), Eucalyptus (15%), Kelampayan (6%) dan lain-lain spesies (6%)," jelasnya.

Dalam program itu, beliau berkata, antara pengisian program adalah penanaman sejumlah 60 anak pokok belian di Hutan Simpan Sabal, Simunjan dan sumbangan dana oleh beberapa syarikat korporat serta pemain industri kepada Jabatan Hutan Sarawak bagi menyokong pelaksanaan Program Penghijauan Sarawak selari dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025) peringkat Nasional.
Next Post Previous Post