India minta eksport minyak sawit mentah ditambah enam juta tan metrik

KUCHING-- India meminta eksport minyak sawit mentah (MSM) daripada Malaysia ditingkatkan kepada enam juta tan metrik.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini menunjukkan perkembangan positif eksport MSM negara.

Bagaimanapun katanya, kementeriannya sedang memperincikan usaha yang perlu diambil bagi memenuhi permintaan India itu.

Jelasnya, ketika ini Malaysia hanya mampu mengeksport hampir empat juta tan metrik ke India yang merupakan pengimport terbesar MSM negara.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, sebanyak 32 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di Sarawak telah menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) membabitkan 37,945 orang pekebun kecil dengan keluasan 213,607.51 hektar. 

"Bagi kawasan Asajaya, sebanyak 2 SPOC telah mendapat Pensijilan MSPO melibatkan seramai 2,645 orang pekebun kecil persendirian dengan keluasan 14,537.29 hektar.

"Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada pekebun kecil sawit persendirian, antaranya Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Asajaya Berhad serta menyempurnakan Sesi Sembang Santai Bersama Pekebun Kecil Sawit di Kampung Seruyuk di sini semalam.

Menurutnya lagi, sehingga September 2023, 69 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah urusniaga Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak 332,633.25 tan. 

"Purata jualan BTS bagi sebuah pusat timbang adalah 401 tan sebulan. 

"KPSM Daerah Asajaya Berhad yang ditubuhkan pada tahun 2013 telah memulakan jualan BTS pada bulan Januari 2023 dengan bilangan keahlian seramai 118 orang. 

"KPSM ini telah mencatatkan peningkatan jualan BTS yang mencecah 6,531.31 tan sehingga September 2023," ujarnya.

Tambah beliau, di Sarawak, seramai 46,325 pekebun kecil mengusahakan kebun sawit menjadikan purata milik kawasan tanaman sawit bagi setiap pekebun kecil di Sarawak adalah seluas 5.5 hektar.
 
Selain itu, beliau memberitahu, MPOB telah membuka 13 Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh Sarawak iaitu di Bau, Sessang, Betong, Sarikei, Serian, Sri Aman, Mukah, Sibu, Miri, Limbang, Batu Niah, Bintulu dan Sibuti yang menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit dan pemindahan teknologi kepada pekebun kecil.

Menyentuh tentang program Trek Komoditi Zon Sarawak, Fadillah berkata, program turun padang KPK itu meliputi daerah Kuching, Kota Samarahan, Simunjan dan Serian - akan berlangsung selama dua hari. 

"Kami turut disertai 30 rakan-rakan media sepanjang jelajah berkenaan," ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk IR Aidel Lariwoo; ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim; Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee; ADUN Simunjan Awla Dris dan Pengerusi MPOB Dato’ Mohamed Helmy Othman Basha.
Next Post Previous Post