Guru, pembantu pengurusan murid ditahan terlibat kes amang seksual

Dato Mancha Ata semasa sidang media di sini hari ini.

KUCHING—Seorang guru dan seorang pembantu pengurusan murid diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes amang seksual berasingan di dua buah sekolah di Serian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, polis menerima 12 laporan polis berhubung kes amang seksual melibatkan seorang pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah pendidikan khas di Serian melibatkan 15 mangsa yang terdiri daripada murid pendidikan khas (orang kelainan upaya) berusia 10 hingga 14 tahun.

Jelasnya, laporan itu diterima antara 16 hingga 22 November lalu yang dibuat penjaga dan guru murid terbabit. 

"Mangsa merupakan pelajar pendidikan khas iaitu kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) seperti OKU masalah pembelajaran, fizikal dan autisme," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelas Mancha suspek telah ditangkap pada 17 November 2023 dan masih berada dalam tahanan reman sehingga hari ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tegasnya, memandangkan si pelaku adalah seorang pembantu pengurusan murid, dia adalah seorang yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa, yang membawa maksud, mangsa berada di bawah pemeliharaan, pengawasan atau kuasanya sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi 5 tahun dan tidak kurang dari dua sebatan.

Satu lagi kes amang seksual, kata Mancha kes itu melibatkan seorang guru penyelaras pengawas yang telah ditangkap pada semalam.

Katanya, dalam kes itu polis telah menerima tiga laporan polis daripada tiga mangsa berumur antara 14 dan 15 tahun yang dibuat pada 22 November 2023 yang mendakwa mereka telah dicabul guru terbabit.

Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 14(c) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadapkanak-kanak, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Tambahnya kes juga disiasat di bawah seksyen 15(f) akta yang sama kerana melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak (membuatkan kanak-kanak melakukan aktiviti yang bersifat seksual), jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda.

"Memandangkan si pelaku adalah seorang guru, dia adalah seorang yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa, yang membawa maksud, mangsa berada di bawah pemeliharaan, pengawasan atau kuasanya sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi 5 tahun dan tidak kurang dari dua sebatan.

Menurutnya lagi, kedua-dua kes masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, beiau menasihati orang ramai lebih peka dan prihatin dengan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana kejadian ini boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan kepada kanak-kanak sekiranya tidak dibendung lebih awal.

"Seksyen 19 akta yang sama iaitu kegagalan memberi maklumat mengenai perlakuan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak melebihi RM5,000).

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak," ujarnya.
Next Post Previous Post